Pusaka atau Puaka

by - 11:34

Nenek En Razak telah lama meninggal dunia. Nenek beliau meninggalkan seorang suami dan 3 orang anak perempuan.

Apa yang menyedihkan ialah, belum sempat arwah nenek dimandikan dan dikafankan, makcik-makcik sibuk bertanyakan perihal duit nenek. Sedangkan datuknya masih lagi hidup dan mempunyai hak ke atas duit isterinya.

Bukan setakat duit, periuk belanga juga direbutkan. Pada hal selepas kematian, periuk belanga menjadi pusaka arwah nenek dan perlu dapatkan muafakat sesama waris. Waima duit RM1 yang ditinggalkan tetap menjadi pusaka arwah.

Selain daripada itu, nenek telah meninggalkan beberapa ekar tanah dan sekarang di uruskan oleh atuk saudara yang juga punya bahagian. Sehingga kini, urusan pusaka masih belum selesai lagi.

Manakala datuk En Razak kini berusia 79 tahun. Mengenangkan jasa atuk dan kasih sayangnya yang telah menjaga En Razak sejak dari kecil, beliaulah yang menjaga atuknya memandangkan tiada siapa yang mahu jaga dan ambil tahu sakit pening atuk.

Memang benar, atuk tidak mempunyai banyak duit dan hanya cukup makan pakai sahaja, namun dia mempunyai banyak tanah. Tanah yang ada dipajakkan dan bahagian atuknya diambil pula oleh sepupu En Razak.

Ada yang meminta atuknya menjual tanah yang bernilai jutaan ringgit. Semasa hidup pun harta menjadi rebutan, apatah lagi jika sudah tiada nanti.

Ada dikalangan makcik En Razak menuduh beliau inginkan harta atuk sebab itulah sanggup untuk menjaga atuknya. Sedangkan atuk sendiri yang rela tinggal bersama En Razak.

Terbaru, En Razak telah diberi amaran oleh makciknya andai kata atuknya meninggal dunia, En Razak sekeluarga perlu keluar dari rumah yang diduduki dengan sehelai sepinggang sedangkan selama berbelas tahun En Razak yang tolong bayar duit pinjaman rumah atuk.

Jika ikutkan hati, En Razak mahu sahaja berpindah ke rumah lain dan bawa sekali atuknya ke rumah baru. Namun, atuk tetap mahu tinggal dirumah yang didudukinya kerana kata atuk ada sentimental value.

Anak?? Masing-masing buat hal sendiri dan apabila berjumpa, hanya bertanyakan khabar harta sahaja. Sehinggakan datuknya sanggup mengelak daripada berjumpa dengan anak dan menantu sendiri.

Sahabat sekalian,

Kita boleh ambil iktibar dari cerita di atas. Perlu fahami dan ambil tahu struktur faraid anda. Dalam situasi di atas, sekiranya datuk En Razak meninggal dunia, datuk dan nenek saudara juga ada hak ke atas harta kerana atuk En Razak tidak mempunyai anak lelaki.

Jika masih hidup, ada harta walaupun tidak banyak, ada waris dan hasrat lain selain dari hukum faraid, maka segerakanlah merancang harta supaya dapat elak dari pertikaian sesama keluarga.

Sebenarnya muafakat sesama waris akan lebih memudahkan urusan pusaka. Namun bila soal harta pelbagai kemungkinan akan berlaku selepas kematian.

Sudah pasti kita tidak mahu melihat waris-waris memakan harta secara batil dan menyaksikan 1001 fitnah harta yang berlaku. Antaranya waris-waris akan saling menzalimi sesama mereka dan pelbagai kemelut harta yang kita tidak tahu sampai bila akan berakhir.

Harta kita semasa hidup adalah amanah dari Allah SWT, sewaktu di akhirat pula kita akan disoal pula bagaimana harta kita diurus dan ditadbir.

Jika anda mudahkan urusan waris, mudah-mudahan urusan anda di sana juga dipermudahkan.

(Berdasarkan kisah benar, namun watak dan latar belakang diubah dari cerita asal. Sila tekan butang share jika mahu berkongsi penulisan ini.)

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perancangan harta boleh hubungi di talian 017-240 8646.
.
#rancangkeranasayang
#islamicestateplanning
#hibah #wasiat #legasi #pusakaataupuaka

You May Also Like

0 comments