Tuesday, 30 December 2014

Rempah Masakan Original Pantai Timur



Assalamualaikum wbt,


Dalam tempoh beberapa jam lagi satu dunia bakal menyambut tahun baru. 


Ada yang sudah buat perancangan atau azam tahun baru ke? Walau apa pun azam kita, mudah-mudahan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan segala impian untuk tahun 2015 akan tercapai. Inshaallah.


Okey, kali ni daku hendak mempromosikan rempah masakan original Pantai Timur kita. 


Fresh lagi... 


Camne ngupanya iyea, meh daku kongsikan....









Ada 4 jenis rempah masakan, antaranya rempah kuzi, kari daging, kari ikan dan rempah kurma. Rempah kuzi pantai timur ni memang terkenal dengan keenakkanya. 


Mungkin ada yang tertanya-tanya, nak masak apa dengan rempah kuzi ni iyea.

Bagi memudahkan lagi para pembaca untuk memasak kuzi, daku kongsi resepi kuzi ayam khas buat para pembaca. Boleh lah cuba iyea.



Resepi Kuzi Ayam


Bahan-bahan:

1 ekor ayam
30 ulas bawang merah atau ikut suka (dimayang halus dan digoreng hingga garing)

Bahan kisar

2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
serai (ikut suka)

Bahan lain 

3 sudu besar rempah kuzi
 3 sudu besar sos tomato
1 cawan campuran kismis dan gajus/badam.
1/2 tin susu cair.
Air
Garam
Gula

Cara-cara memasak:

1.  Perap ayam dengan bahan yang telah dikisar tadi (bawang putih, halia dan serai serta 
     garam secukup rasa)
2.  Perap ayam sekurang-kurangnya satu jam.
3.  Goreng ayam. Goreng kismis dan gajus atau badam cincang dan disejatkan.
4.  Tumiskan rempah kuzi (tidak perlu lama-lama) 
5.  Masukkan susu cair.
6.  Masukkan sos tomato, bawang goreng, ayam, kismis, gajus/badam, garam dan gula 
7.  Masukkan sedikit air.
8.  Masak hingga kuahnya pekat. 


Sedap dimakan bersama dengan roti jala, roti Arab, roti biasa atau dengan nasi Arab atau nasi putih sahaja. 


Harga (100 gram):-

Rempah kuzi - RM 10

Rempah kurma - RM7

Rempah kari ikan - RM7

Rempah kari daging - RM7


Kepada pembaca yang berminat untuk menjadi ejen dropship juga dialu-alukan dan yang berminat untuk membeli rempah masakan original Pantai Timur bolehlah terus hubungi saya di talian 017-240 8646 atau pm saya di Facebook: Eko Salina


Notakaki: Harga di atas tidak termasuk kos penghantaran.

Nisbah Hutang dan situasi kewangan anda.






Salam sejahtera,



Pejam celik pejam celik kita sudah pun berada di penghujung tahun 2014. Begitu pantas nya masa berlalu. Beberapa hari lagi kita di ambang 2015.


Adakah kita sudah bersiap sedia dengan kehadiran tahun 2015.  Dengan harga minyak dunia yang semakin menurun menyebabkan Ringgit Malaysia lemah. Apatah lagi dengan kehadiran GST bermula bulan April 2015 membuatkan ramai pengguna berasa resah kerana khuatir dengan kenaikan harga yang bakal dikenakan oleh para peniaga.




Hutang isi rumah 2002 - 2013



Melalui graf di atas menunjukkan negara Malaysia mempunyai kadar isi rumah yang agak tinggi. Pinjaman yang terbesar meliputi pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dan juga pinjaman peribadi.








Perunding Kewangan Islam Hijrah Wealth Management iaitu Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahri memberi sedikit panduan bagaimana kita harus menghadapi situasi berhutang lebih-lebih lagi kerana kita ingin mengubah keadaan kewangan kita menjadi lebih baik pada tahun 2015.

Pada asas nya kita haruslah mengira nisbah hutang kita.


1)  Kira Nisbah Hutang


Formula:-


Nisbah Hutang = Ansuran bulanan setiap bulan/ Pendapatan bulanan


Sebagai contoh:-

Sekiranya ansuran rumah, kereta dan pinjaman peribadi berjumlah RM3,000 sebulan dan pendapatan bulanan anda adalah RM5,000, Nisbah Hutang anda adalah RM3,000/RM5,000 iaitu 0.6 atau 60 peratus.

Ini membawa maksud bahawa daripada gaji bulanan yang anda terima, 60 peratus digunakan untuk membayar ansuran bulanan hutang.

Sekiranya anda ingin membuat nisbah hutang isi rumah, campurkan keseluruhan ansuran bulanan hutang isi rumah dan bahagikan dengan pendapatan isi rumah.



2) Situasi Hutang Anda

                                                    Julat                            Kategori

                                                          0                                 Bebas Hutang

                                                        0.-0.10                         Kehidupan yang tenang

                                                        0.11-0.30                     Sihat

                                                        0.31-0.40                     Normal

                                                        0.41-0.50                     Hypertension

                                                        o.51-0.60                      HDU (Pengurusan Hutang yang tidak 
                                                                                              baik)

                                                        0.61-0.80                     ICU

                                                        > 0.80                          Nazak


Setelah membuat pengiraan, dimanakah terletaknya julat nisbah hutang anda? 

Semoga di dalam kategori sihat di mana hanya 11 - 30 peratus sahaja hutang bulanan kita.



3) Buat Matlamat Kewangan

Melalui angka nisbah hutang yang diperolehi, bolehlah kita membuat matlamat kewangan yang akan meningkatkan tahap pengurusan hutang kita. Ianya sedikit sebanyak dapat membantu dalam pengurusan kewangan kita.


# Dapatkan laporan terkini CCRIS dan CITOS

# Pindahkan kesemua hutang yang berlandaskan conventional kepada 
    islamik

#  Jangan mengambil hutang baru walaupun mendapat tawaran yang baik
     oleh mana-mana institusi kewangan

#  Bayar ansuran lebih sedikit setiap bulan

#  Sasarkan supaya julat nisbah hutang menurun ke julat yang lebih kecil


4)  Daftar Hutang


Rekodkan kesemua hutang kita dalam satu laporan yang diberi nama Daftar Hutang. Ianya merangkumi:


#  Jenis Hutang

#  Di bank mana

#  Jumlah hutang yang diambil

#  Cagaran yang diberi, sekiranya ada

#  Jumlah ansuran bulanan

# Tarikh ansuran bulanan yang perlu dijelaskan

#  Surat tawaran pinjaman perlu difail


Daftar Hutang ini seeloknya dikepil bersama penulisan wasiat supaya memudahkan urusan pentadbir harta pusaka bagi menyelesaikan hutang si mati dengan lancar.


Sumber: Majalah Anis



















Di sini juga saya terpanggil untuk berkongsi bersama pembaca nasihat daripada pakar penganalisa ekonomi, Profesor Dr. Hoo Ke Ping yang bersiaran di rancangan Nasi Lemak Kopi O pada 27 Disember 2014 yang lepas, beberapa panduan yang boleh kita ambil dan diambil kira. Antaranya ialah:


1.  Kita hendaklah berjimat cermat  iaitu berbelanja apabila perlu sahaja.

2.  Elakkan daripada berhutang terutama sekali berhutang dengan bank kerana akan dikenakan interest. 

3.  Buat pelaburan untuk jangka masa panjang seperti unit trust, insuran dan lain-lain yang mana boleh mendatangkan keuntungan yang lebih dalam pelaburan kita.

4.  Tidak digalakkan untuk membeli rumah dalam masa 2-3 tahun ini kerana harga rumah pasti akan turun yang disebabkan oleh 'over supply'. Oleh itu rancang lah terlebih dahulu apabila ingin memiliki rumah dan beli apabila harga rumah turun dan ekonomi kita semakin pulih.








Marilah kita sama-sama memperkemaskan cara pengurusan  hutang dan cuba menahan diri dari mengambil hutang baru. Ini secara tidak langsung dapat membantu dalam menurunkan statistik hutang isi rumah di Malaysia.




Sunday, 28 December 2014

Selamat Datang 2015, Selamat Tinggal 2014




Tahun 2014 kian berlabuh,
Lembaran demi lembaran telah berlalu,
Pelbagai cabaran dan dugaan silih berganti,
Tidak terduga dek akal fikiran kita.


Allahuakbar,
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui,
Kepada Mu Allah tempatku berserah dan bermohon,
Kerana Allah jualah sebaik-baik perancang yang mentadbir seluruh alam.


Semoga tahun 2014, memberi ikhtibar buat kita semua,
Bukalah mata hati kita, Allah tidak akan menzalimi hambanya,
Setiap kesulitan pasti ada kemudahannya buat kita semua,
Apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.


Selamat Tinggal 2014,
Semoga ianya menjadi panduan buat kita semua,
Agar menjadi insan yang lebih baik dan tidak terus alpa,
Semoga dapat menyatukan hati seluruh insan,
 Serta sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi olehNya.


Selamat Datang 2015,
Semoga tahun 2015 akan memberi sinar harapan,
Memberi lembaran baru yang penuh makna,
Agar kita diberi kejayaan yang cemerlang,
Juga diberi lindungan dan rahmat dari Allah swt.







10 Inisiatif dan Kreatif untuk Bersedekah.






Bismillahirrahmanirrahim,



Rasulullah s.a.w. Bersabda yang bermaksud: “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” (Riwayat Muslim)


Kita dianjurkan bersedekah setiap hari. Berdasarkan sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menerangkan pada setiap awal pagi, ketika terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi.


Yang satu menyeru, 'Ya Tuhan-Ku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan harta kepada Allah.' Yang satu lagi menyeru, 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (kedekut)'. (Riwayat Muslim)









10 Inisiatif dan Kreatif untuk Bersedekah.

1.  Belilah beberapa buah kerusi atau bangku dan diletakkan di dalam masjid. Supaya dapat digunakan orang memerlukan sewaktu ingin bersolat

2.  Letakkan sedikit makanan kucing dan semangkuk air di luar rumah untuk kucing-kucing yang datang.

3.  Sentiasa sediakan wang kecil di dalam dompet untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

4.  Jika hadir dalam acara keramaian (keluarga atau sahabat), belilah sekotak dua air mineral. Niatkan sedekah kepada orang yang memerlukannya.

5.  Belilah al-Quran dan letakkan di surau atau masjid. Bayangkan betapa banyaknya pahala yang diperolehi jika ada yang membaca al-Quran tersebut.

6.  Ketepikan sedikit gaji untuk disumbangkan kepada anak yatim dan orang miskin.

7.  Sekiranya membeli barang daripada peniaga-peniaga kecil, kemudian peniaga tersebut mengembalikan wang baki, biarkan wang baki itu sebagai sedekah kepadanya.

8.  Berikan perasaan gembira dengan senyuman mahupun doa ikhlas kepada setiap orang terutama yang ditimpa kesedihan.

9.  Sedekahkan al-Fatihah kepada kedua ibu bapa, keluarga, sahabat dan kenalan.

10. Bersedekah dengan cara melemparkan senyuman kepada orang yang ditemui, memberi salam dan bertutur dengan ucapan yang baik.

(Sumber: Lembaga Zakat Selangor)

Di sini dapat simpulkan bahawa maksud sedekah ini amatlah luas. Ianya bukan sekadar pemberian wang, makanan atau pakaian sahaja. Namun ianya terlalu luas yang mana sekiranya kita memberikan pertolongan dan bantuan kepada yang meminta bantuan dan dapat mengembirakan mereka juga dikira sebagai sedekah. Dengan amalan sedekah ini, ia dapat memberi keberkatan yang berpanjangan.


Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya kita lakukan dengan hati yang ikhlas iaitu kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.






Friday, 26 December 2014

Banjir Luar Biasa di Pantai Timur




Gambar: Banjir di Kelantan



Assalamualaikum wbt,


Hari ini 26.12.2014. Tika ini cuaca yang amat mendamaikan. Apatah lagi penghujung tahun merupakan musim tengkujuh.


Penghujung 2014 memberi seribu satu macam cerita. Pelbagai episod yang dilakarkan. Ada cerita suka dan duka. Disebalik kegembiraan kita ada juga kedukaan yang dialami oleh beribu orang apatah lagi musibah ini datang tanpa diduga. Tiada kata yang dapat dilafazkan. Saat kita selesa di rumah hampir puluhan ribu jiwa kesejukan, ketakutan dan kelaparan. Subhanaallah, sedih rasanya apabila melihat senario ini.


Takziah buat mangsa banjir di Pantai Timur. Allahhuakbar, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Allah tidak akan jadikan semua ini kecuali pasti ada hikmahnya, semoga mangsa banjir ini diberi kekuatan, kesabaran, semangat yang kuat dan ketabahan dalam mengharungi dugaanMu ini Ya Allah. 


Sempena bulan maulid ini, marilah kita banyakkan berselawat disamping mendoakan dan membantu saudara mara kita yang ditimpa ujian. Semoga urusan mereka juga dipermudahkan dan dijauhkan dari segala kesulitan.




Doa mohan elak banjir dan ketika banjir.


Apa yang berlaku itu adalah atas kekuasaan Allah. Kita tidak mampu untuk menolak dengan ketentuan ini. Walau setinggi manapun teknologi dan kekayaan yang kita ada kita tidak mampu untuk melawan kebesaran Allah. Semoga musibah yang datang ini dapat memberi pengajaran buat kita semua agar kita tidak terus alpa dengan nikmat dunia dan kita hendaklah sentiasa dekat pada Nya serta sentiasa bersyukur dengan nikmatnya.


Wallahualam

Mudahnya Menjemput Rezeki


Assalamualaikum dan salam ceria,




Tahukah anda untuk mendapat rezeki sememangnya sangat mudah apabila kena caranya?


Saya sendiri sebagai pembaca Mudahnya Menjemput Rezeki berasa tidak rugi memilikinya. Bagaimana rezeki itu hadir dengan mudah sekiranya kita beriman dan menjaga solat lima waktu, solat tahajud dan solat dhuha. Buku ini juga memberi kesedaran dan keinsafan kepada saya untuk lebih dekat kepada Allah. Selain solat, membaca al-quran, amalan zikir juga dapat melahirkan rasa cinta kepada Allah, dan dicintai Allah. Menjemput rezeki dengan mendoakan orang lain dan amalan sedekah juga merupakan pelaburan yang baik, di mana rezeki kita datang tanpa disangka-sangka.


Mudahnya Menjemput Rezeki merungkai rahsia mudah untuk mendapat rezeki. Ia dikongsi oleh penulis yang telah mengalami ‘peristiwa mendapat rezeki’ daripada Maha Pemberi Rezeki dengan mekanisme yang tertentu.

Ikutilah rahsianya, ada pula janji menarik daripada Allah bagaimana untuk menambah rezeki. Bukan itu sahaja, malah diberi pula formula bagaimana supaya rezeki yang sudah berada di tangan boleh terus berkembang. Bukan sekadar itu, Allah berikan lagi formula bagaimana supaya rezeki yang sudah berkembang dan bertambah banyak tidak pula musnah.


Berminat untuk memilikinya. Dengan harga RM25.00 termasuk kos penghantaran.

Boleh hubungi saya di 017-240 8646 atau terus ke borang tempahan yang telah disediakan

Sunday, 21 December 2014

Kebaikan Lulur Tradisional





Salam ceria semua,

Semoga para pengunjung blog saya ini di dalam keadaan sihat walafiat dan di dalam lindungan Allah s.w.t hendaknya.

Kali ini kita bersiaran dengan melulur. Inilah aktiviti daku dihujung minggu baru-baru ini. Menyiapkan rempah lulur.


Apa itu LULUR?

Melulur badan adalah proses perawatan traditional untuk mencantikkan kulit, membantu menanggalkan sel mati dan daki pada badan kita.


Kebaikan dan kepentingan lulur badan

#  Kulit kekal cantik dan bermaya

#  Dapat menghaluskan tekstur kulit

#  Membantu mengebukan kulit

#  Membantu meratakan warna kulit

#  Menjadikan kulit sentiasa tegang dan tidak berkedut
    
#  Mengurangkan masalah jerawat

#  Mengurangkan bau badan

#  Terapi membelai tubuh



Bahan Asli





Serbuk biji kopi

Dibersihkan dan disental pada tapak tangan kasar dan tubuh gelap terutama sekali kawasan leher, ketiak dan celah peha. Lulur kopi ini dapat membantu mengurangkan minyak pada yang mempunyai masalah kulit berminyak. Ini kerana biji kopi yang telah dijadikan serbuk akan menghasilkan antioksida yang bersifat menghaluskan dan menjadikan kulit kelihatan lebih cerah, lembut dan halus. 







Serbuk kayu manis

Serbuk kayu manis ini dapat membersihkan tubuh dari masalah jerawat dan parut. Ia mampu memberi nutrisi pada kulit yang mana menjadikan kulit kita sihat. Selain daripada itu, aroma wangi yang alami dalam kulit kayu manis boleh menghilangkan bau pada badan kita. Lulur kayu manis ini membantu menanggalkan sel-sel kulit mati dan ini secara tidak langsung dapat meremajakannya kembali kulit kita.

Namun begitu, bagi kulit yang sensitif tidak disyorkan untuk menggunakan lulur kayu manis kerana kayu manis boleh memberi kesan kepada kulit menjadi merah dan terasa panas.



















Daun pandan

Aroma daun pandan yang wangi dapat menghilangkan bau badan dan mengurangkan bau peluh. Selain daripada itu ia membantu menjadikan kulit halus dan lembut. Ia juga dapat meratakan dan mencerahkan warna kulit. Lulur pandan ini membantu menjadikan kulit lebih bersih dan menanggalkan kotoran pada kulit.










Bagi wanita yang bekerjaya, kesibukan masa kadang kala membataskan kita untuk membuat lulur sendiri. Kini, anda boleh melakukan perawatan turun temurun ini hanya di rumah dengan menggunakan lulur tradisional kami. Tidak perlu ke spa dan lebih jimat masa tanpa perlu meninggalkan urusan di rumah dan anak-anak.

Lulur tradisional 'Home Made' adalah 100% dari bahan asli dan tanpa bahan pengawet. Lulur dari bahan semulajadi mampu memberi khasiat terus kepada kulit kita. Boleh digunakan tanpa was-was dan ditanggung HALAL. Sangat disyorkan bagi bakal pengantin dan juga ibu-ibu yang baru lepas bersalin. Bagi mengekalkan kulit yang sihat dan anjal. 


Harga:-

100 gram = RM 5.00

250 gram = RM 10.00


Cara pemakaian:-

Ambil lulur secukupnya dan dicampurkan dengan air biasa atau air mawar. Boleh juga dicampurkan dengan sedikit madu untuk kesan yang lebih efektif. Sapukan pada bahagian kulit tangan, ketiak dan seluruh badan, tunggu seketika hingga kering. Gosok perlahan-lahan sehingga kotoran pada kulit tertanggal, kemudian bilas dengan air bersih. Sebaiknya digunakan sebelum mandi.


Untuk hasil yang lebih maksimum, gunakan lulur secara teratur iaitu 2 kali seminggu. Bagi kulit kering memadai hanya lulur seminggu sekali sahaja. 


Testimoni pengguna Lulur Tradisional


Testimoni Lulur pandan & kayu manis





Testimoni Lulur Kopi



Harga tidak termasuk kos penghantaran.

Kepada yang berminat dengan Lulur Tradisional KOPI sahaja boleh terus hubungi saya untuk tempahan.

whatsapp/ pm: 017 - 240 8646



Tuesday, 16 December 2014

Ku harapkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari



Teks:  Eko Salina Kasman

Gambar: Carian Google








Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Menemui kembali para pembaca. Eh ada ke. Hehe. Lama rasanya tak update blog ni, dek kerana jiwa kacau, gundah gulana, fikiran rungsing dan hati berbelah bahagi.  Itulah yang terjadi dalam hidupku beberapa minggu yang lepas. Sehinggakan untuk 'update' blog pun tidak ada mood dan boleh dikatakan daku ketandusan idea untuk menulis.  


Okeyyy, kita lupakan segalanya.  Latih diri untuk bertenang dan terus berikhtiar tanpa rasa erti putus asa.  Begini lah rupa nya rasa apabila syarikat offer VSS dalam bahasa melayu pemberhentian secara sukarela. Ku sangkakan panas hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengahari. Ini disebabkan syarikat ingin mengurangkan pekerja dan melakukan perstrukturan organisasi. Pastinya daku menerima tempias ini walaupun department kami bukanlah department hot untuk ditutup namun setelah berbincang dengan En Suami dan memikirkan baik dan buruknya maka daku mengambil keputusan untuk mengambil VSS ini.







Bermulalah episod baru sebagai suri rumah sepenuh masa.  Dalam kata lain 'kitchen manager'. Huhu. Memang pada awalnya daku merancang untuk menjadi suri rumah sepenuh masa tetapi tidak sangka pula terjadi dalam masa yang terdekat. Segalanya telah ditentukan, kita hanya merancang dan Allah yang menentukannya. Hendak kata tiada komitmen sendiri, tidak juga. Masih ada hutang yang belum dilangsaikan. Menyesal? Keputusan sudah dibuat. Perjalanan hidup masih jauh. Daku harus pandang ke hadapan. Daku yakin dan percaya kepada Allah dan percaya rezeki itu ada di mana-mana. Kita tidak pernah tahu bila datangnya, ia seperti panas dan hujan.


"Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan sesiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu". 
(Ath-Thalaq 65: 3)


Apapun keputusan yang dibuat, kita haruslah tabah dalam mengharunginya. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, sama ada kita tahu atau tidak tahu dan yakin bahawa setiap ujian itu terselit kebaikan yang banyak. Semoga daku akan lebih tenang dan diberi kekuatan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.