Wednesday, 19 November 2014

Pengalaman hantar anak ke Taska dan Pengasuh


Teks: Eko Salina Kasman

Gambar: Carian Google


















Assalamualaikum dan salam ceria pengunjung,


Entry kali ini kita bersiaran dengan pengalaman daku mencari taska untuk Aisyah. Ketika itu daku baru berpindah ke rumah yang baru siap dibina. Kawasan tempat tinggal pun masih baru. Jiran tetangga pun ada yang belum duduk lagi. Nak bertanya tentang taska pun kami tidak tahu. Survey punya survey akhirnya daku dan suami mengambil keputusan untuk mencari taska yang berdekatan dengan pejabat suami. Dengan alasan memudahkan suami untuk mengambil anak sekiranya ada kecemasan.


Sebelum ini Aisyah di jaga oleh makcikku sendiri dengan penuh kasih sayang. Aisyah di jaga bagai minyak yang ditatang penuh. Bayangkanlah kasih sayang yang tidak belah bagi ini membuatkan daku agak sukar juga mencari  taska yang sesuai buat Aisyah. Survey pertama adalah di salah sebuah taska di Kelana Jaya. Kebetulan ketika itu pengusaha taska tidak ada kerana berada di cawangan Shah Alam. Bagi kanak-kanak berumur satu tahun dan belum pandai berjalan meraka letakkan di tingkat satu. Tika itu dalam satu bilik mempunyai lima orang kanak-kanak. Raut dan tingkah laku Aisyah menunjukkan yang dia tidak berapa berkenan dengan keadaan tempat itu. Apatah lagi penjaga di situ tidak pandai mengambil hati kanak-kanak. Hanya mendiamkan diri sahaja apabila Aisyah mula hendak menangis. Daku pun turun ke bawah untuk melihat keadaan taska tersebut dan membuka pintu bilik bawah, kelihatan ramai kanak-kanak di dalam satu bilik. Ada yang menangis mungkin kerana tidak selesa dengan keadaan bilik itu yang agak padat dengan kanak-kanak lain. Lebih memeranjatkan lagi, penjaga yang menjaga kanak-kanak tersebut begitu sibuk dengan handphone sahaja tanpa menghiraukan kanak-kanak di bawah jagaannya. Salah seorang dari kanak-kanak tersebut meminta memakaikan seluar tetapi tidak dihiraukan. Mungkin tika itu, pekerja tidak perasan dengan kehadiran daku kerana terlalu leka dengan handphonenya. Dalam situasi ini, daku membatalkan sahaja niat untuk menghantar Aisyah di situ.


Survey kedua adalah di salah satu taska di Kota Damansara. Dari perbualan dengan pengusaha taska di situ menunjukkan beliau seorang yang peramah. Ini menunjukkan petanda yang baik. Daku dan suami pun pergi ke taska tersebut. Ternyata Aisyah amat senang dengan pengusaha taska tersebut. Mungkin disebabkan layanan yang diberikan dan pandai mengambil hati budak menyebabkan Aisyah tidak menangis malah bermain-main apabila dibiarkan di ruang tamu.


Namun begitu, sebelum daku bersetuju untuk memutuskan Aisyah di jaga oleh pihak taska tersebut, daku sempat juga melihat keadaan taska. Secara luarannya taska tersebut bersih. Begitu juga dengan tandas mereka yang bersih. Apa yang menarik di sini, mereka tidak masak di taska tersebut. Malah ibu kepada pengusaha taska itu sendiri yang masak di rumah mereka. Penjaga taska hanya menjaga dan memantau kanak-kanak sahaja. Bagi kanak-kanak yang belum berjalan mereka di tempatkan di tingkat bawah dan bagi kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke atas mereka di tempat kan di tingkat dua. Ini kerana pelbagai aktiviti di jalankan mengikut module yang telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.  Yang menariknya, taska tersebut adalah taska mesra susu ibu. Sebenarnya sebelum ke taska ini, daku telah menyemak di internet tentang status taska dalam senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antara faktor daku memilih taska tersebut ialah kerana:






1.  Kemudahan di taska adalah lebih baik kerana mempunyai ruang yang besar. Ini kerana mereka mempunyai taman permainan serta tempat makan yang khas untuk memudahkan kanak-kanak makan dengan lebih selesa.

2.  Ramai kawan di taska. Ini membolehkan anak daku bergaul bersama rakan-rakan dan secara tidak langsung meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial sesama mereka.

3.  Membolehkan anak-anak ini lebih berdikari kerana mempunyai rakan sebaya. Sebagai contoh tidak lagi memakai pampers kerana rakan sebaya tidak lagi memakai pampers.

4.  Kurang mengambil cuti kerana taska hanya akan bercuti pada cuti umum sahaja kerana mereka ramai pekerja.

5.  Selain daripada taska ia juga merupakan 'play school' yang sangat sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.


Pada bulan October 2012 bermulalah episod baru buat Aisyah. Daku mula menghantar Aisyah ke taska. Hari pertama daku dan suami mengambil cuti untuk memastikan Aisyah tidak menghadapi masalah di taska tersebut. Alhamdulillah pekerja di taska tersebut agak terlatih dan pandai mengendalikan kanak-kanak. Pada hari pertama sewaktu mengambil Aisyah, daku melihat bulu matanya basah. Apabila ku tanya Aisyah menangis ke tadi, penjaga di situ mengatakan tidak. Tika itu naluri ibu mengatakan mungkin hari pertama, Aisyah belum dapat menyesuaikan diri di tempat baru.


Hari demi hari, tiap kali mengambil Aisyah pasti bulu matanya basah. Setiap kali menghantar dan mengambil Aisyah, Aisyah tidak pernah senyum. Sehinggakan Aisyah jatuh sakit. Demam Aisyah tidak kebah. Suhu badan hingga ke 40 Celcius. Hati ibu mana tidak risau. Apabila di bawa ke hospital Aisyah mengidap penyakit pneumonia. Ia merupakan jangkitan paru-paru. Luluh hatiku tika itu. Seminggu juga Aisyah berada di hospital untuk memastikan demam Aisyah tidak berulang baru Aisyah dibenarkan pulang. Bulan kedua dan ketiga Aisyah di masukkan ke hospital lagi. Tiga kali berturut-turut. Semuanya adalah berpunca dari jangkitan kuman dan Aisyah mengalami demam yang sangat panas. Daku bernasib baik kerana Aisyah tidak mengalami kekejangan ketika demam panas. Sehinggakan doktor pakar yang mengubati Aisyah menasihati kami sekiranya kami menyayangi Aisyah keluarkan Aisyah dari taska. Ini kerana antibodi Aisyah tidak kuat dan mungkin tidak boleh menerima persekitaran di taska tersebut. Nasihat doktor adalah menyuruh kami mencari pengasuh buat Aisyah dan pengasuh itu tidak boleh menjaga kanak-kanak lebih dari tiga orang. 


Nasihat doktor kami terima, siapa yang tidak sayangkan anak. Tambahan pula Aisyah merupakan anak sulong kami. Dialah penyeri hidup kami sekeluarga. Daku berbincang dengan suami untuk mencari pengasuh Aisyah. Kebetulan jiran sebelah daku pernah tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan dengan tempat tinggal kami. Dialah yang memberi no telefon seorang kakak yang kini menjadi pengasuh anak-anakku. 



Kini pengasuh anak daku ialah Kak Shida. Ketika itu kak Shida hanya menjaga dua orang kanak-kanak. Seorang empat tahun dan seorang lagi bayi sembilan bulan. Dari gaya tutur Kak Shida daku boleh merasakan dia seorang yang lemah lembut dan penyabar orangnya. Apabila diperkenalkan kepada Aisyah, Aisyah hanya memandang sahaja. Kak Shida tidak memaksa untuk Aisyah menerimanya, bukan senang bagi kanak-kanak seperti Aisyah untuk terima kehadiran orang lain dalam hidupnya. Apatah lagi untuk menjaganya. Dari raut wajahya daku dapat melihat yang Kak Shida menyukai Aisyah kerana dia tidak mempunyai anak perempuan dan sepanjang menjadi pengasuh dia tidak pernah menjaga kanak-kanak perempuan. Satu bonus buat Aisyah. Daku bukanlah ibu yang terlalu cerewet dalam memilih pengasuh. Pada daku cukuplah pengasuh ini dapat menjaga anak-anak daku dengan baik padaku sudah memadai. Antara sebab kenapa daku memilih Kak Shida sebagai pengasuh anak daku sehingga kini ialah:


1.  Keadaan rumah yang bersih dan kurang perabot. Dari segi keselamatan adalah lebih terjamin. Kita sebagai ibubapa tidak lah terlalu bimbang anak kita akan mengalami kecederaan atau merosakkan barang-barang di rumah pengasuh.

2.  Rumah Apartment. Ini memudahkan pengasuh untuk mengawal selia kanak-kanak di bawah jagaannya kerana ruang rumah yang tidak besar.

3.  Tidak berkira sekiranya daku lambat mengambil anak-anak. Kadang-kadang kesesakan di jalan raya menyebabkan daku terlewat mengambil anak-anak. Namun begitu, sekiranya selalu lewat daku akan memberi lebih pada bulan tersebut. Semuanya bergantung kepada jasabaik antara pengasuh dan ibubapa.

4.  Satu keluarga Kak Shida mesra dengan anak-anakku. Sehinggakan sekiranya suami pengasuh hendak pergi kerja Aisyah pun hendak ikut sekali.


Melalui pengalaman daku, menghantar anak-anak di rumah pengasuh membuatkan anak-anak kita kurang berdikari. Dari segi pergaulan juga agak terbatas. Kadang-kala pengasuh meminta cuti disebabkan saudara kahwin dan sebagainya. Namun yang demikian, ada antara rakan sepejabat daku mendapat pengasuh yang sangat bagus. Pengasuh anaknya mengajar membaca dan menulis. Ini merupakan satu bonus buat ibubapa sekiranya mendapat pengasuh sedemikian rupa.


Walaubagaimanapun, daku amat bersyukur kerana anak-anak daku di jaga dengan baik. Alhamdulillah, kini Aisyah sudah berusia tiga tahun. Begitu juga Irfan sudah setahun lebih. Kedua-duanya di bawah jagaan Kak Shida. Selepas daku menghantar Aisyah di rumah Kak Shida, Aisyah tidak lagi di masukkan ke hospital. Mudah-mudahan anak-anak daku sentiasa sihat dan dilindungi oleh Nya. Daku bersyukur kerana Allah melindungi anak-anak daku dari segala perkara yang tidak diingini. Ibu mana yang tidak risau dengan pelbagai cerita yang keluar di dada akhbar dan juga internet. Tidak sanggup rasanya untuk membaca dan menontonnya di video tentang kes penderaan kanak-kanak di taska atau di rumah pengasuh.


Di sini daku bukan lah hendak membuat perbandingan yang mana baik dan yang mana buruk tentang taska dan pengasuh. Ianya terpulang kepada ibubapa untuk memberi yang terbaik buat anak-anak. Daku hanya berkongsi pengalaman kepada para ibubapa di luar sana agar dapat membuat keputusan yang tepat dalam menyerahkan anak kita kepada orang lain. Jangan terlalu mengambil ringan sekiranya anak kita mengadu kepada kita dan bagi bayi sekiranya anak yang kita hantar sentiasa menangis. Usahakanlah mencari taska atau pengasuh lain untuk anak-anak kita, ini kerana berkemungkinan anak kita tidak serasi dengan taska atau pengasuh yang menjaganya. Semoga anak-anak kita dijauhkan dari segala musibah yang tidak diingi. AMIN.







Tuesday, 18 November 2014

Stress jangan dekati daku

Teks: Eko Salina Kasman






Assalamualaikum,

Di pagi yang hening ini, sambil menyusukan Irfan jari jemari ini terus menaip sementara idea yang hendak dicoretkan masih segar. Semalam hari yang agak sibuk dengan kerja di pejabat yang tiada sudahnya sehinggakan tidak berkesempatan untuk menjenguk blog sendiri dek kepenatan apabila pulang ke rumah. Terdetik juga difikiran akan rasa penatnya menjadi ibu yang bekerja. Macam-macam yang hendak difikirkan, hal kerja di pejabat, hal anak-anak dan hal rumahtangga. 


Minggu ini juga kebanyakan sekolah mengadakan hari penghargaan buat pelajar. Tidak ketinggalan juga pengasuh anak mengambil cuti pada hari ini sempena penyampaian hadiah bagi pelajar cemerlang. Ibu mana yang tidak mahu melihat anak kesayangan naik ke pentas untuk mengambil hadiah atas pencapaian cemerlang anak. Segala pengorbanan ibu bapa terasa terbalas sekiranya anak-anak itu dapat membahagiakan mereka. Tidak ketinggalan juga daku mengambil cuti untuk menjaga anak-anak. Boleh lah rehat sehari untuk melepaskan rasa lelah. Tapi bila difikirkan balik, ibu mana yang akan duduk berehat sahaja sekiranya diberi pilihan duduk di rumah. Pelbagai kerja yang akan dilakukan. Itulah kelebihan yang ada pada kaum wanita. Boleh melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.   


Dalam kesibukan ini, pasti akan terasa tekanan dalam diri kita. Tekanan sebenarnya ada di mana-mana dan terpulang pada kita bagaimana hendak menanganinya. Sebagai ibu yang bekerja, rasa tertekan adalah perkara biasa lebih-lebih lagi sekiranya anak sakit dan dalam masa yang sama pelbagai 'dateline' kerja di pejabat harus disiapkan. Dalam situasi begini, kita haruslah membuat pilihan samaada kerjaya atau anak kita. Keutamaan harus di berikan kepada anak kita. Berbincanglah secara baik dengan ketua jabatan atau majikan agar mereka faham dengan situasi kita ketika itu.  


Bantuan dan sokongan daripada suami juga amat penting dalam mengurangkan tekanan. Sebagai contoh, perjalanan daku dari rumah ke pejabat agak jauh juga iaitu 90 km. Disebabkan itu, meminta bantuan dari suami untuk menguruskan anak-anak ke rumah pengasuh akan lebih menjimatkan masa kita untuk ke pejabat. 


Kadang-kadang keletihan ini akan membuatkan kita akan berasa tertekan, ini boleh membuatkan mood kita sepanjang hari tidak begitu baik. Dalam situasi begini, kita bolehlah sekali sekala mengambil cuti separuh hari untuk memanjakan diri sendiri. Lain tidak bukan daku lebih gemar ke spa atau pun membuat aktiviti yang kita suka tanpa ada anak-anak disisi. Ini juga merupakan salah satu terapi yang boleh mengurangkan tekanan dalam diri kita.


Selain daripada itu, kita haruslah menjaga waktu tidur dan makan yang cukup. Bersenam seminggu sekali juga dapat menangani tekanan dengan baik. Bersiar-siar bersama keluarga dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan juga dapat membuatkan kita rasa tenang dan lupa dengan bebanan tugas yang sedang kita tanggung.


Amalan membaca Al-Quran adalah salah satu terapi atau ubat dalam membantu mengurangkan bebanan dalam diri kita. Pendekatan kita terhadap Allah secara tidak langsung dapat menenangkan jiwa yang tidak tenteram. Disamping solat lima waktu dan banyakkan berdoa supaya diberi ketenangan dan dapat meredakan segala kemarahan. Ini kerana doa adalah penguat hubungan antara manusia dengan Allah.











Dengan beberapa perkongsian ini, semoga dapat memberi manfaat kepada semua. 



Notakaki: Tiada pengetahuan membuat blog dan fanpage di facebook tapi anda ingin mengembangkan perniagaan anda. Boleh sertai kami di ABDR. Apa itu ABDR? Pendaftaran masih dibuka setiap hari. Keterangan lanjut boleh KLIK DI SINI. 

Saturday, 15 November 2014

Cucur Manis dan Kopi O


Teks: Eko Salina Kasman



Bismillahirrahmaniirahim,


Alhamdulillah, titisan air hujan turun membasahi bumi. Syukur dengan rahmatmu Ya Allah. Dengan air hujan inilah dapat membersihkan debu-debu di udara. Jam di dinding menunjukkan pukul lima petang. Si kakak sibuk keluar masuk dapur. Dari kejauhan si kakak buka tutup pintu peti sejuk. Si adik bergurau senda bersama ayah. 'Emmm, lapar agaknya kakak ni'. Bisik hati si ibu. Lantaran itu si ibu pun melangkah ke dapur dan mencari apa yang perlu di masak untuk menu petang. Si kakak mula mendekati ibu dan bertanya:

Kakak: Mama uatpe tu?
Mama: Mama nak uat kuih untuk Aisyah.
Kakak: Waaaaa, untuk Aisyah.
Mama: Iyea, kuih untuk Aisyah.
Kakak: Yeayyyy.


Begitu gembiranya hati kakak dan terus melangkah pergi ke ruang tamu. Bermain-main pula bersama si adik. Daku terus memulakan kerja di dapur dengan mengambil 3 cawan tepung, 3 cawan air panas, 1/2 cawan susu pekat manis dan secubit garam. Daku campurkan kesemua bahan tadi dan gaulkan sehingga sebati. Sementara itu ku bacakan surah Al-Kautsar ketika gaulkan kesemua bahan. Pesan ustaz mengaji, dengan membaca surah ini suami dan anak-anak kita akan sentiasa ingat dengan masakan kita dan niatkan dalam hati supaya masakan kita nanti sesedap seperti air kautsar. Setelah siap doh tadi, daku terus goreng di dalam kuali.


Cucur manis dan kopi O siap dihidang. Itulah juadah pada petang ini. Irfan dengan lajunya menghampiriku dengan tersenyum simpul. Lantaran itu ku hulurkan cucur manis kepada Irfan. Begitu juga kakak dan suami menikmati hidangan petang ini yang serba ringkas. Walaupun ringkas, alhamdulillah dua pinggan cucur manis habis di makan mungkin kerana dek hujan petang ini. Lapar semuanya, bukan anak je yang lapar tetapi mama dan ayah pun lapar.  


Begitulah nikmatnya air tangan seorang ibu dan isteri. Tidak ada bukti yang saitifik yang menunjukkan kehebatan air tangan ibu dan isteri terhadap keluarganya tetapi dapat dilihat melalui rohaniah, tetapi kita boleh lihat dan fikir mengapa apabila kita berjauhan kita akan merindui masakan ibu kita walaupun hanya nasi goreng sahaja. Tidak ada siapa yang boleh tandingi masakan ibu kita. Itulah kehebatan air tangan ibu. Sebenarnya makanan yang ibu masak dan disusuli dengan suapan tangan sendiri ke mulut anak akan menambah lagi ingatan anak terhadap ibunya apatah lagi hubungan anak dan ibu akan lebih akrab. Begitu juga suami, akan sentiasa ingat masakan isterinya walaupun tidaklah sesedap masakan ibunya.


Oleh itu, walau sesibuk mana pun isteri yang bekerja turunlah ke dapur. Jika kita masak walaupun hanya sejenis lauk sahaja tetapi dengan penuh kasih sayang dan dengan penuh keikhlasan pasti akan sedap masakan itu.




Wallahua'lam.

Friday, 14 November 2014

Gunakan masa berkualiti bersama anak-anak


Teks:  Eko Salina Kasman

Salam sejahtera,


Petang ini hujan renyai membasahi bumi. Tika ini kesesakan di jalan raya adalah lumrah bagi penghuni ibu kota, hari ini dek kerana tiada polis trafik maka kesesakan di jalan raya agak kritikal. Baru berkira-kira hendak pulang awal setelah beberapa hari ini pulang lewat disebabkan beberapa tugasan yang harus disiapkan.


Sambil memandu, sempat lagi memikirkan tentang anak-anak tercinta. Masih ingat lagi diingatan akan berita tentang kanak-kanak yang berusia 6 tahun jatuh dari tingkat 2 sekolah disebabkan gurauan dari murid pendidikan khas. Allahuakbar, hendak pengsan rasanya kalaulah yang terjadi itu anak kita sendiri. Dunia akhir zaman, pelbagai cerita di sekeliling kita dan di dada akhbar. Hati ibu mana yang tidak risau akan keselamatan anak-anak. Kasih seorang ibu tiada penghujungnya. Walau nakal sekalipun anak kita dan kadang kala menguji kesabaran tetapi mereka tetap anugerah dari Allah yang tidak ternilai buat kita.


Sebagai ibu bapa, terutama bagi ibu yang bekerja akan terasa betapa nikmatnya sekiranya kita dapat meluangkan masa bersama-sama anak. Terasa begitu besarnya pengorbanan anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa ketika ibu bapa mereka mencari rezeki. Walau sesibuk mana pun ibu bapa, kita haruslah meluangkan sedikit masa untuk anak-anak kita. Ini kerana masa yang ada tidak akan dapat diulang semula. 


Pelbagai cara yang boleh kita lakukan bersama-sama dengan mereka untuk mengeratkan lagi hubungan dan kasih sayang kita terhadap anak-anak tercinta. Antaranya ialah:


1.  Beri sepenuh perhatian kepada anak-anak

Apabila kita berada di rumah, pastikan ada ruang waktu untuk bersama anak-anak kita. Beri perhatian kepada mereka agar mereka tidak rasa dipinggirkan oleh ibu bapa mereka. Sebagai contoh, ketepikan handphone dan laptop dahulu. Ketika ini, cuba ajak anak-anak kita berbual dan bertanyakan khabar mereka pada hari ini. Pandang wajah mereka apabila kita bercakap dengan mereka. Secara tidak langsung mengajar mereka untuk menghormati orang lain.



2.  Melakukan kerja bersama-sama

Membeli belah antara kerja yang boleh dilakukan bersama-sama. Sebagai contoh, kita boleh menyuruh anak kita mengambil barang atau sama-sama memilih barang yang mereka inginkan. Selain daripada itu aktiviti memasak dan berkebun juga boleh dilakukan bersama-sama dengan anak kita. Sebenarnya aktiviti berkebun ini sangat baik untuk perkembangan anak-anak kita yang sedang membesar. Dari situ mereka boleh belajar bagaimana untuk menyiram pokok bunga, bagaimana pokok itu ditanam dan boleh membesar. Pelbagai cara lain juga yang boleh kita lakukan bersama anak-anak kita dan semuanya bergantung kepada kreativiti ibu bapa itu sendiri.



3.  Terima anak seadanya

Setiap orang mempunyai kekuatan dan keunikan yang tersendiri. Apabila kita bersama anak-anak, kita cuba perhatikan karekter anak masing-masing. Jangan memaksa anak-anak itu apabila mereka tidak suka dan menghargai setiap apa yang mereka lakukan. Sebagai contoh anak yang berusia dua tahun, walaupun hanya menconteng di atas kertas kita sebagai ibu bapa haruslah memberi penghargaan ke atas hasil contengan itu. Anak ini pasti suka dengan penghargaan yang diberikan kepada mereka. Jangan memaksa dengan sesuatu perkara yang mereka tidak suka. Cuba kita lihat potensi anak-anak kita dan jangan hanya menyuruh mereka mengikut kehendak kita. Terima mereka seadanya dan berikan galakkan kepada kebolehan anak-anak kita.



4.  Jangan biarkan anak bermain sendiri

Bermain bersama anak-anak akan lebih menyeronokkan mereka. Sebagai ibu bapa kita boleh mengajak anak-anak bermain di taman permainan dan bermain bersama-sama dengan mereka. Ini secara tidak langsung perkembangan dan kesihatan anak-anak ini akan lebih baik berbanding kita membiarkan anak-anak bermain dengan 'gadget' semata-mata.



Sebagai ibu bapa, kita haruslah membimbing mereka ke arah yang lebih baik dan menegur mereka sekiranya mereka melakukan kesalahan. Anak-anak memerlukan kasih sayang yang sempurna daripada kedua ibu bapa mereka. Duit bukanlah segala-galanya buat mereka, namun begitu mereka memerlukan perhatian daripada kita. Jangan kerana kesibukan kita, anak-anak terabai dan tidak dapat kasih sayang yang sebenar. Peluk dan kucuplah mereka setelah kita pulang dari kerja. Walau penat sekalipun kita, jangan biarkan anak-anak ini terus berkorban dengan kesibukan masa kita yang tiada penghujungnya.



Sayangilah dan hargailah anak-anak kita. Walau sesibuk manapun kita, pastikan masa yang digunakan bersama mereka adalah berkualiti. Cari masa yang sesuai untuk bersama anak-anak dan dengan adanya sokongan daripada ibu bapa secara tidak langsung dapat membantu mereka menjadi anak yang berjaya apabila mereka dewasa kelak.

Thursday, 13 November 2014

Indahnya aura positif

Teks: Eko Salina Kasman

Gambar: Carian google


Salam Jumaat,


Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini. Minggu ini adalah minggu motivasi buat diriku. Walau apa jua dugaan yang mendatang, ku tetap mengambilnya sebagai satu cabaran. Aura positif harus dicas ke dalam badan agar diri ini tidak memandang ke arah yang negatif.


Dingin di pagi hari, burung-burung berterbangan mencari rezeki. Begitu juga dengan diriku ini, sambil memandu ke tempat kerja bertemankan radio Ikim. Antara segmen yang menarik hari ini adalah segmen motivasi. Hari ini adalah berkisar tentang topik sikap positif yang harus diterapkan dalam diri kita. Kepada pembaca yang tidak berkesempatan untuk mendengar radio Ikim, daku kongsikan bersama di sini. Semoga dapat memberi manfaat kepada semua.


Ceritanya berkisarkan tiga orang pemuda menjumpai barang perhiasan. Mereka bercadang untuk berkongsi harta sesama mereka. Sebelum mereka membahagikan harta tersebut, salah seorang rakan mereka mencadangkan agar membeli makanan tanda kesyukuran. Antara tiga orang pemuda itu, pemuda yang paling muda dilantik untuk membeli makanan di bandar.

Semasa dalam perjalanan untuk membeli makanan di bandar, pemuda itu berkira-kira untuk meletakkan racun di dalam makanan dua orang rakannya nanti. Ini membolehkan dia mendapat kesemua harta tersebut. Bagi dua orang pemuda di hutan pula berfikir sekiranya mereka membunuh pemuda yang membeli makanan nanti pasti pembahagian harta lagi banyak. Lantaran itu, sesampai pemuda yang membeli makanan di hutan, dua orang rakannya itu memukul pemuda tersebut sehingga meninggal dunia. Selepas membunuh, dua orang pemuda tadi terlihat akan makanan yang pemuda tadi beli. Mereka pun makan dan kedua-duanya pun meninggal dunia akibat terkena makanan yang telah diletakkan racun. 


Melalui cerita ini, kita sebagai khalifah di muka bumi ini haruslah sentiasa berfikiran positif supaya diri ini di jauhkan dari segala energy negatif. Hidup kita haruslah sentiasa optimis dan memandang positif terhadap orang lain. Jangan suka memandang negatif terhadap orang lain, ini kerana kita tidak tahu akan kebolehan seseorang itu. Berkawanlah dan dekatilah dengan orang-orang yang mempunyai aura positif agar kita juga akan terkena tempiasnya dalam memajukan diri kita. Begitu juga dengan kehidupan seharian kita, kita haruslah mendidik diri kita dahulu untuk sentiasa berfikir secara positif, latih diri menjadi seorang yang penyabar dan tenang dalam menangani masalah yang mendatang.



Tuesday, 11 November 2014

Motivasi Diri

Teks:  Eko Salina Kasman


Assalamualaikum pengunjung,

Fikir sebelum bicara
Susah sebelum senang
Jatuh sebelum berjaya
Sedar sebelum hanyut


Begitu indahnya lagu 'hingga ke hujung dunia' antara lirik nyanyian Hanis Soraya. Lagu ini sebenarnya mengingatkan daku akan perjalanan hidupku. Ada kalanya kita berada di atas dan ada kalanya kita berada di bawah.  Begitu juga dalam perhubungan kita, tidak semestinya apa yang kita hajati akan kita perolehi.  Kita haruslah tabah dalam menempuh segala cabaran.  Daku yakin setiap apa yang terjadi dalam hidup kita pasti ada hikmah disebaliknya.

Beberapa hari ini sebenarnya 'stress level' daku agak tinggi juga.  Ini disebabkan oleh ketidak stabilan sistem di tempat kerjaku. Segala macam tugasan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Bekerja di bahagian kewangan memang tidak lari dari 'dateline'.  Apatah lagi hujung tahun merupakan bulan kritikal bagi kami. Dengan kehadiran LHDN, kastam dan auditor untuk tujuan pengauditan, bertambah lagi kesibukan daku.  Kadang-kadang bermain difikiran untuk berhenti kerja sahaja. Lebih baik daku menguruskan rumahtangga dan menjaga anak-anak. Pagi-pagi tidak perlu risaukan tentang kesesakan jalan raya apabila hendak ke tempat kerja. Bolehlah di pagi hari berguling-guling bersama si manja. Tidak perlu memikirkan pelbagai 'dateline' di tempat kerja. Alangkah seronoknya kalau impian menjadi kenyataan. Namun begitu, apabila mengingatkan komitmen yang sedia ada seperti tersedar dari lamunan. Hidup ini mesti diteruskan, sebelum berhenti kerja kita haruslah membuat perancagan yang baik agar keputusan kita itu nanti adalah pilihan yang tepat. Bukan tidak percaya kepada rezeki dari Allah, tetapi kita haruslah ingat rezeki itu bukan datang bergolek tetapi perlulah diiringi dengan usaha.

Setiap hari daku selalu ingatkan pada diri sendiri, sentiasa berfikiran positif walau apa jua tugasan yang diberi dan cabaran yang kita hadapi. Walaupun kadang kala ada juga 'naik darahnya' namun ku tetap cuba bersikap sabar dan bersyukur sekurang-kurangnya daku mempunyai pekerjaan. Jangan biarkan emosi kita mengatasi segalanya. Emosi yang tidak stabil boleh mendatangkan bahaya kepada diri kita juga. Kesabaran adalah kunci kejayaan juga.

Daku teringat akan kata-kata ustaz sewaktu tazkirah di pagi Jumaat. Sebelum memulakan apa-apa pekerjaan kita mulakan dengan surah Al-Insyirah.







Kelebihan Surah Al-Insyirah.

Nabi Muhammad S.A.W bersabda : “Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku”. Barangsiapa membiasakan membaca surah Alam Nasyrah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah permudahkan urusannya serta dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya.


Semoga dengan amalan ini, ia dapat meringankan bebanan kita dalam melaksanakan tugasan harian kita, secara tidak langsung ia dapat menenangkan jiwa dan hati kita yang berada dalam keadaan yang tidak tenteram.



Wallahua'lam.

Monday, 10 November 2014

Makanan semula jadi untuk tambahkan susu ibu

Teks:  Eko Salina bt Kasman

Gambar: Carian google












Bismillahirrahmaniirahim,

Assalamualaikum para pengunjung yang dirahmati Allah,

Daku selalu mendapat pertanyaan mengenai penyusuan ibu.  Sebenarnya daku bukan lah ibu yang dapat menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun.  Cukup lah memadai dengan menyusu secara eksklusif selama 6 bulan.  Kekangan masa dan kadang-kadang daku terpaksa bekerja di luar kawasan menyebabkan daku mengambil keputusan menyusukan anak secara ekslusif selama 6 bulan sahaja, tetapi ini tidak bermakna daku terus berhenti menyusukan anak daku. Kini daku campur susu formula dan susu badan kepada Irfan itu pun setelah pengasuh anakku memberitahu yang Irfan sudah tidak mahu minum susu ibu yang daku bekalkan.  Irfan lebih suka minum susu secara 'direct'.  Mungkin juga segar dari ladang agaknya.  Hehehe.

Berbalik kepada pertanyaan dari rakan-rakan mengenai makanan untuk tambahkan susu. Ada kalangan rakan-rakan daku mengadu disebabkan kurang susu. Sebenarnya susu ibu adalah melalui proses 'supply and demand'. Sekiranya ada permintaan maka adanya penghasilan susu. Yakinlah pada Allah dan sentiasa bersikap positif dalam menjayakan penyusuan buat si manja terutama sekali bagi bayi berumur antara 0 - 6 bulan.

Beberapa hari lepas daku terbaca majalah Pa&Ma mengenai makanan untuk tambahkan susu.  Di sni daku terpanggil untuk kongsikan beberapa jenis makanan dan cara penyediaannya agar dapat membantu masalah para ibu menambah susu yang mana makanan ini mudah didapati dan kos yang murah. 




Antara makanannya ialah:

Lobak putih
Sesuai dibuat sup yang dimasak bersama daun kucai dan ikan bilis.  Boleh juga dijadikan jus untuk diminum.


Lobak merah
Boleh dijadikan salad mahupun dicampurkan bersama-sama sayur-sayuran lain menjadi menu sayur campur.


Sawi
Sawi boleh dimasak sayur tumis bersama beberapa sayuran yang lain.


Kucai
Kucai menjadi bahan yang dimasak bersama mihun, cucur dan lain-lain.  Boleh juga ditumis bersama taugeh dan tauhu menjadi menu sayur.


Pucuk manis
Pucuk manis dimasak gulai lemak atau tumis air.


Pegaga
Kebiasaannya ia dijadikan ulam dimakan bersama sambal belacan atau dibuat kerabu pegaga.


Peria
Boleh digoreng bersama telur. Ia juga boleh dicelur menjadi ulam.


Jantung pisang
Boleh dihidangkan sama ada secara celur, dijadikan kerabu atau masak lemak.


Oren
Boleh dimakan begitu sahaja atau dibuat jus oren.


Betik
Pucuk betik atau buah betik muda perlu dicelur terlebih dahulu sebelum dimakan sebagai ulam bersama nasi panas.


Halba
Biasanya halba direndam dan airnya diminum begitu sahaja.  Ada juga dicampurkan di dalam masakan.


Jintan Hitam
Boleh digunakan sebagai bahan asas masakan tertentu seperti sup, masak kicap dan lain-lain.


Barli
Boleh dibuat minuman atau bubur


Oat
Selain daripada dibuat bubur atau dicampurkan ke dalam minuman panas, boleh juga menggunakannya untuk menyaluti makanan goreng seperti ayam, roti dan sebagainya.


Longan kering
Sedap dijadikan minuman.  Boleh rebus bersama kurma, kismis dan barli.  Lebih sedap sekiranya direbus dengan gula merah.


Tauhu dan tempe
Digoreng sahaja atau dicampur ke dalam masakan-masakan yang lain.


Susu
Boleh diminum begitu sahaja


Keju
Boleh dijadikan bahan asas masakan seperti kek, pastri dan sebagainya selain dimakan begitu sahaja.


Kacang soya
Lazat diminum begitu sahaja.

Semoga dengan perkongsian ini, dapatlah para ibu di luar sana menjayakan penyusuan susu buat si manja.  Namun begitu, perlu diingat agar para ibu haruslah kerap mengosongkan payu dara dengan sebaik-baiknya.  Ini membolehkan rangsangan payu dara untuk mengeluarkan susu. Sekiranya para ibu tidak kerap mengosongkan payu dara maka makanan di atas ini tidak mendatangkan sebarang kesan. Oleh itu, kerap menyusukan bayi atau pam bagi menghasilkan susu yang banyak. Tahap keberkesanan makanan di atas juga bergantung kepada individu itu. Cuba dahulu satu persatu manalah tahu ianya sangat berkesan buat ibu-ibu di luar sana. Kalau ikut pengalaman daku makanan yang serasi pada daku adalah lobak putih, tauhu, tempe, oat, jintan putih, cokelat dan makanan sunnah.  Berdasarkan pengalaman daku sendiri untuk menghasilkan susu yang banyak, setiap apa yang kita suka makan itulah ia dapat menghasilkan susu yang banyak. Oleh itu ibu-ibu carilah makanan kegemaran anda supaya para ibu dapat menikmati makanan dengan penuh nikmatnya dan dapat menghasilkan susu yang banyak.

Walaubagaimanapun berdoalah kepada Allah agar permudahkan penyusuan kita buat si manja. Tidak ketinggalan juga makanan sunnah sangat baik untuk ibu yang menyusu.  Khasiatnya boleh KLIK DI SINI.   




Sunday, 9 November 2014

Jus Naga resepi kesihatan dan kecantikan


Gambar: Carian Google




Salam manis dan salam sejahtera buat pengunjung,

Setiap Ahad jam 8 pagi akan bersiaran dengan rancangan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9. Rancangan NLKO merupakan salah satu rancangan kegemaranku.  Pada asalnya daku suka dengan NLKO disebabkan pengacara sebelum ini ialah Luqman, AG HotFm dan Fizo Omar.  Keletah trio Ahad ini, bagaikan penyeri daku dipagi Ahad.  Segmen yang dihidangkan kepada penonton juga amat menarik.  Tetapi sejak akhir-akhir ini pengacara NLKO sudah bertukar, terasa hambar pula rasanya apabila ketiadaan AG dan Fizo Omar.

Walaubagaimanapun daku tetap suka dengan segmen Chef trio Ahad ni. Resepi pagi ini adalah Jus Naga Merah. Kepada para pembaca yang tidak berkesempatan untuk menyaksikan NLKO di sini daku kongsikan bagaimana hendak membuat jus naga ini.






Bahan-bahan

Halia muda (sebesar ibu jari)
1 biji buah naga merah
Sedikit batang saderi
3 biji epal hijau

Cara penyediaan:

Campurkan kesemua bahan-bahan dalam pengisar.  Sebelum minum ditapis terlebih dahulu.
Setelah ditapis sedia untuk diminum.


Haa, mudahkan.  Tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak untuk menyediakan jus naga merah. Makan makanan semulajadi ini sebenarnya sangat baik untuk kesihatan kita, apatah lagi tiada bahan kimia yang terkandung di dalamnya.

Seperti ada kekurangan sekiranya kita tidak tahu apakah khasiat yang terkandung dalam setiap apa yang kita makan dan untuk jus naga ini daku senaraikan beberapa khasiat yang terkandung di dalam bahan-bahan di atas iyea.


Antara khasiatnya ialah:


Buah naga merah

Buah naga merah mempunyai kandungan potasium, protein, serat, sodium dan kalsium yang tinggi. Kajian menunjukkan buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah.  Ia juga dikatakan dapat meneutralkan toksik dalam darah.  Selain daripada itu, buah naga merah boleh mencegah kandungan kolestrol yang tinggi dalam darah dan pada masa yang sama menurunkan kadar lemak dalam badan.

Buah naga merah mengandungi zat besi, vitamin B1 (mengawal kepanasan badan), vitamin B2 (menambah selera), vitamin B3 (menurunkan kadar kolestrol) dan vitamin C (menambah kelicinan dan kehalusan kulit dan mencegah jerawat) 


Batang saderi

Batang saderi adalah sumber terbaik bagi vitamin B1, B2, B6 dan vitamin C.  Ia juga kaya dengan kalium, asid folik, magnesium, fosforus dan asid amino.  Batang saderi juga dikatakan baik untuk memerangi kanser.  Ini kerana ia mengandungi sekurang-kurangnya lapan keluarga sebatian anti kanser.


Epal Hijau

Epal hijau juga mengandungi zat besi, magnesium, potasium, kalsium, sodium, vitamin C, vitamin A & B dan serat yang mudah larut.  Epal hijau bagus untuk masalah penghadaman.  Ianya dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksik dengan cepat melalui sistem pencernaan.


Halia Muda

Allah s.w.t berfirman, "Dan mereka dalam syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campuran dari Zanjabil." (Surah Al-Insaan: 17). Mashaallah, rupa-rupanya air halia merupakan minuman syurga. Khasiat yang terkandung dalam halia ini ialah karbohidrat, serat, kalium, fosforus, kalsium, protein, asid amino, pati minyak, vitamin A, B dan C dan asid organik.

Halia ini dapat merawat pensakit yang menpunyai banyak angin dalam badan, sakit kepala, sistem pencernaan bermasalah, sakit jantung, muntah, cirit birit, asma, sakit perut dan banyak lagi. Umumnya halia ini sangat baik untuk menstabilkan hati dan perut yang dimasuki angin.


Begitu indahnya ciptaan Allah.  Setiap kejadiannya mempunyai keistimewaan dan fungsinya. Kadang kala kita tidak peka dengan apa yang ada disekeliling kita. Dalam menjaga kesihatan dan kecantikan yang sebenar jom kita mencuba resepi Jus Naga ini. Mudah, murah, banyak khasiatnya dan senang didapati di mana-mana. 


Wallahua'lam.

Saturday, 8 November 2014

Makanan yang sihat dan segar ketika berpantang



Gambar:  Carian google


Assalamualaikum semua dan salam ceria,

Kali ini daku ingin berkongsi dengan pengunjung tentang makanan yang sihat ketika berpantang. Bila nak dekat-dekat bersalin selalu kita dengar rakan-rakan kita atau orang yang kita kenal akan bersuara nakal "Ehhh..baik ko makan puas-puas, nanti kalau ko dah bersalin tak dapat dah nak makan". Tempoh berpantang selama 44 hari yang biasa kita amalkan memerlukan kita bersabar dalam menahan godaan nafsu makan dan amalan pantang yang lain.  Amalan pantang boleh lah baca entry daku sebelum ni iyea.  KLIK DI SINI.

Sebenarnya, tempoh berpantang ini adalah untuk melindungi diri kita yang sedang cuba memulihkan diri dari segi dalaman dan luaran semasa mengandung dan melahirkan bayi.  Dengan memakan makanan yang segar dan sihat secara teratur ketika berpantang, secara tidak langsung badan kita kembali cergas dan dapat menyembuhkan luka dengan cepat.  Pengambilan air yang banyak juga sangat baik kepada ibu yang baru lepas bersalin terutama sekali bagi ibu yang menyusu dan air yang mencukupi boleh mengurangkan risiko jangkitan kuman.

Dalam pengambilan makanan ini, ibu-ibu dinasihatkan agar makan nasi yang panas agar dapat mengelakkan dari perut kita kembung.  Ibu-ibu disarankan makan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap.  Sewaktu dalam pantang, pemakanan kita perlu la diambil kira supaya berat badan kita tidak akan naik secara mendadak.  Makan banyak ulam-ulaman, sayur-sayuran dan juga buah-buahan dapat memulihkan kesihatan dan mengurangkan berat badan.

Herba tradisional yang digunakan sewaktu dalam berpantang sememangnya telah terbukti  dapat memulihkan kesihatan.  Antara herba tradisonal yang digunakan ibu selepas bersalin ialah sepang kederang, daun serapat, manjakani dan serai wangi.  Herba tradisional ini mempunyai khasiat yang tersendiri, antaranya ialah menggalakkan proses penyembuhan luka dalaman lebih cepat, dapat memulihkan semula sistem peranakan, sifat antiseptik yang terdapat dalam buah manjakani boleh mencegah jangkitan kuman dan membantu menegangkan bahagian intim selepas melahirkan anak. Serai wangi juga dapat menghilangkan pening kepala.

Di sini daku kongsi beberapa resepi ketika daku dalam berpantang. Antara resepi sewaktu dalam pantang:

Ikan tenggiri panggang

Bahan-bahan

Bahan A
2 potong ikan tenggiri
1 biji limau kasturi - diambil jusnya
Serbuk kunyit secukupnya
Garam secukup rasa

Bahan B
30gm halia muda
1 labu bawang merah
3 ulas bawang putih
Minyak masak

Cara penyediaan:

1. Lumur bahan A pada ikan selama 30 minit.  Kemudian panggang sehingga masak
2. Panaskan sedikit minyak.  Tumis bahan B sehingga naik bau.  Taburkan di atas ikan yang siap dipanggang.

Lobak putih tumis kering

Bahan-bahan

1/2 batang lobak putih
Sedikit daun kucai
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1/2 sudu kecil lada hitam
sedikit air
Garam secukup rasa

Cara Penyediaan

1. Rebus lobak merah di dalam periuk berasingan sehingga empuk
2. Didihkan sedikit air.  Kemudian, masukkan kesemua bahan kecuali garam ke dalam periuk
3. Jangan masak terlalu lama dan letak garam secukup rasa
4. Sedia untuk dihidangkan.

Kerabu pegaga

Bahan-bahan

6-10 cekak daun pegaga (dihiris kasar)
Halia muda (dihiris)
1 sudu besar lada hitam
Air asam jawa secukupnya
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

1.  Satukan kesemua bahan kecuali air asam jawa dan garam ke dalam mangkuk besar.
2.  Masukkan air asam jawa mengikut kelembapan kerabu yang anda ingini dan gaul sebati
3.  Perasa dengan garam secukupnya.  Sedia untuk dihidangkan.




Air kunyit

Bahan-bahan

Sebuku ibu kunyit
1/4 cawan air

Cara penyediaan:

1.  Buang kulit kunyit dan cuci dengan sempurna.
2.  Tumbuk halus dan perah untuk di ambil patinya.
3.  Campurkan pati ini bersama satu perempat cawan air.






Air manjakani

Bahan-bahan

5 biji manjakani
2sm halia - dihiris
2sm kunyit - dihiris
2 keping asam keping
500ml air

Cara penyediaan:

1. Satukan kesemua bahan ke dalam periuk
2. Jerang di atas api sederhana sehingga mendidih
3. Reneh dalam tempoh masa 10 minit
4. Tapis sebelum diminum suam.

(Air kunyit dan air manjakani boleh diambil tiga kali sepanjang tempoh berpantang)

Bagi pembaca di luar sana yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan 44 hari panduan berpantang bolehlah dapatkan ebook kami. Ebook Panduan 44 hari berpantang Tradisional Moden ini mengupas lebih lanjut tujuan rawatan berpantang, persediaan bersalin, persediaan berpantang, rawatan tradisional, rawatan moden dan pelbagai lagi panduan ketika berpantang. Tidak ketinggalan juga terdapat petua untuk kembali lansing. Bagi pembaca yang memberi ulasan ebook ini, anda juga akan diberi bonus iaitu ebook resepi sewaktu berpantang.  Dapatkan ebook sekarang dengan harga promosi kami RM30 sahaja.


Penulis buku:  Masayu Ahmad

Nasi Arab - Nasi Maqluba Ayam


Bismillahirrahmaniirahim,


Nasi Maqluba Ayam siap sedia untuk di makan. ;-)


Ini cerita tengah hari tadi.  Daku kalau nak main masak-masak pun waktu hujung minggu je kan.  Al maklum lah kalau hari-hari biasa daku guna dapur orang lain je untuk memasak lauk.  Hehehe. Bukan malas nak masak, tapi daku sampai di rumah pun dah lewat juga.  Apatah lagi waktu 'closing accounts' jawabnya pukul 8 lebih baru sampai di rumah.  Agak memenatkan juga kalau hendak ke dapur.  Ada kalanya daku masak juga, tak best rasanya kalau selalu guna dapur orang lain kan.  Air tangan isteri tu penting juga untuk suami dan anak-anak makan.  Itu pun salah satu kunci kebahagiaan rumahtangga.

Hokayyy.,kali ni kita bersiaran dengan hidangan Nasi Maqluba Ayam.  Daku bukannya apa, Aisyah memang gemar makan nasi yang berperisa.  Dah jemu dengan masakan melayu kita, maka ku cubalah masakan arab ni kan.  Cara membuat nya agak mudah.  Daku ni memang suka yang mudah-mudah ni. Jimat masa dan tak lah renyah.  Hehehee.

Alkisahnya daku guna pes nasi maqluba ayam.  Huhu (Terbongkar rahsia I. Ngee).  Tak kisahla kan pes ke yang original ke terpulang kepada ibu-ibu di luar sana.  Yang penting ada cita rasa asli arab dan seisi keluarga suka.

Pes ni untuk 4 - 5 orang makan.  Beras basmathi, rempah maqluba serta rempah tumis maqluba dah disediakan di dalam pes.  Mudahkan.  Apa yang perlu ibu-ibu buat cuma ikut sahaja panduan yang telah disediakan dibelakang kotak pes nasi maqluba ayam.  Pes ni rasanya terlebihhh sedap.  Hingga menjilat jari.  Sampaikan Aisyah ckp "Seeedaaap...Mama beli.." hehehe.  Sedap sangat ke naaak oii.





Di sini daku kongsikan bersama-sama pembaca iyea :)

Bahan-bahan:

1.  Beras basmathi
2.  Rempah serbuk maqluba
3.  Rempah tumis maqluba
4.  1 ekor ayam (Cam daku 1/2 ekor pun dah cukup)
5.  2 biji bawang besar
6.  10 biji bawang putih
7.  5 biji terung ( dihiris bulat dan jangan terlalu nipis)
8.  2 biji kentang ( dihiris bulat dan jangan terlalu nipis)
9.  200 gram bunga kobis
10. 1 batang cili hijau
11. 2 biji tomato
12. minyak masak
13. Garam secukup rasa

Perhatian

1 1/2 sudu besar rempah serbuk maqluba untuk ayam panggang
1 sudu besar rempah serbuk maqluba untuk nasi maqluba
kentang, terung dam bunga kobis digoreng terlebih dahulu tanpa garam

Ayam panggang

1.  Perapkan 1 ekor ayam dengan 1 1/2 sudu besar rempah serbuk maqluba, 5 ulas bawang putih yang dikisar, 2 sudu kecil garam dan 2 sudu besar minyak.
2.  Panggang di dalam oven selama 1 jam dengan suhu 180 celcius.  Balikkan ayam selepas 1/2 jam.
3.  Simpan lebihan minyak yang keluar ketika proses memanggang.

Nasi Maqluba

1.  Rendam beras 20 minit atau lebih kemudian toskan
2.  Tumiskan rempah hidup, 1 ulas bawang besar, 5 ulas bawang putih, 1 sudu rempah ,aqluba
3.  Masukkan 650ml air ke dalam tumisan.  Biarkan ia mendidih
4.  Susunkan 1 ulas bawang besar (hiris bulat), tomato (hiris bulat), kentang goreng (hiris bulat), terong goreng (hiris bulat) dan bunga kobis goreng 
5.  Masukkan beras yang telah ditoskan beserta tumisan rempah tadi ke dalam rice cooker (di atas susunan kentang, tomato, terung dan bunga kobis)
6.  Tabur 2 sudu kecil garam atau secukup rasa dan 1 batang cili hijau (jangan dihiris)
7.  Tanak nasi sehingga 80% masak, kemudian masukkan minyak ayam panggang yang disimpan tadi.  Gaulkan perlahan-lahan dengan garpu supaya nasi tidak patah.  Biarkan sehingga nasi 100% masak.

Cara buat Sos Harrah:

1.  2 biji tomato, 2 ulas bawang putih, perahan lemon, daun ketumbar, cili padi (ikut suka hati) dan sedikit garam.
2.  Kisar semua bahan tanpa air

Cara buat Salad Arab:

1.  2 biji tomato dan 1 batang timun dipotong dadu.
2.  Hiriskan halus 1 labu bawang besar dan daun ketumbar
3.  Campurkan semua bahan ke dalam mangkuk, tambah sedikit garam dan serbuk lada hitam.

Kalau pembaca di luar sana berminat hendak mencuba dengan pes ni boleh lah order dengan daku iyea.
Harga RM15 sahaja untuk sekotak.  Kalau hendak lihat pes lain boleh lah KLIK DI SINI.

BERMINAT??? Boleh membuat pesanan DI SINI atau pm di: https://www.facebook.com/Eko Salina atau whatsapp: 017-240 8646.  Harga tidak termasuk kos penghantaran.