Wednesday, 19 November 2014

Pengalaman hantar anak ke Taska dan Pengasuh


Teks: Eko Salina Kasman

Gambar: Carian Google


















Assalamualaikum dan salam ceria pengunjung,


Entry kali ini kita bersiaran dengan pengalaman daku mencari taska untuk Aisyah. Ketika itu daku baru berpindah ke rumah yang baru siap dibina. Kawasan tempat tinggal pun masih baru. Jiran tetangga pun ada yang belum duduk lagi. Nak bertanya tentang taska pun kami tidak tahu. Survey punya survey akhirnya daku dan suami mengambil keputusan untuk mencari taska yang berdekatan dengan pejabat suami. Dengan alasan memudahkan suami untuk mengambil anak sekiranya ada kecemasan.


Sebelum ini Aisyah di jaga oleh makcikku sendiri dengan penuh kasih sayang. Aisyah di jaga bagai minyak yang ditatang penuh. Bayangkanlah kasih sayang yang tidak belah bagi ini membuatkan daku agak sukar juga mencari  taska yang sesuai buat Aisyah. Survey pertama adalah di salah sebuah taska di Kelana Jaya. Kebetulan ketika itu pengusaha taska tidak ada kerana berada di cawangan Shah Alam. Bagi kanak-kanak berumur satu tahun dan belum pandai berjalan meraka letakkan di tingkat satu. Tika itu dalam satu bilik mempunyai lima orang kanak-kanak. Raut dan tingkah laku Aisyah menunjukkan yang dia tidak berapa berkenan dengan keadaan tempat itu. Apatah lagi penjaga di situ tidak pandai mengambil hati kanak-kanak. Hanya mendiamkan diri sahaja apabila Aisyah mula hendak menangis. Daku pun turun ke bawah untuk melihat keadaan taska tersebut dan membuka pintu bilik bawah, kelihatan ramai kanak-kanak di dalam satu bilik. Ada yang menangis mungkin kerana tidak selesa dengan keadaan bilik itu yang agak padat dengan kanak-kanak lain. Lebih memeranjatkan lagi, penjaga yang menjaga kanak-kanak tersebut begitu sibuk dengan handphone sahaja tanpa menghiraukan kanak-kanak di bawah jagaannya. Salah seorang dari kanak-kanak tersebut meminta memakaikan seluar tetapi tidak dihiraukan. Mungkin tika itu, pekerja tidak perasan dengan kehadiran daku kerana terlalu leka dengan handphonenya. Dalam situasi ini, daku membatalkan sahaja niat untuk menghantar Aisyah di situ.


Survey kedua adalah di salah satu taska di Kota Damansara. Dari perbualan dengan pengusaha taska di situ menunjukkan beliau seorang yang peramah. Ini menunjukkan petanda yang baik. Daku dan suami pun pergi ke taska tersebut. Ternyata Aisyah amat senang dengan pengusaha taska tersebut. Mungkin disebabkan layanan yang diberikan dan pandai mengambil hati budak menyebabkan Aisyah tidak menangis malah bermain-main apabila dibiarkan di ruang tamu.


Namun begitu, sebelum daku bersetuju untuk memutuskan Aisyah di jaga oleh pihak taska tersebut, daku sempat juga melihat keadaan taska. Secara luarannya taska tersebut bersih. Begitu juga dengan tandas mereka yang bersih. Apa yang menarik di sini, mereka tidak masak di taska tersebut. Malah ibu kepada pengusaha taska itu sendiri yang masak di rumah mereka. Penjaga taska hanya menjaga dan memantau kanak-kanak sahaja. Bagi kanak-kanak yang belum berjalan mereka di tempatkan di tingkat bawah dan bagi kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke atas mereka di tempat kan di tingkat dua. Ini kerana pelbagai aktiviti di jalankan mengikut module yang telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.  Yang menariknya, taska tersebut adalah taska mesra susu ibu. Sebenarnya sebelum ke taska ini, daku telah menyemak di internet tentang status taska dalam senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antara faktor daku memilih taska tersebut ialah kerana:






1.  Kemudahan di taska adalah lebih baik kerana mempunyai ruang yang besar. Ini kerana mereka mempunyai taman permainan serta tempat makan yang khas untuk memudahkan kanak-kanak makan dengan lebih selesa.

2.  Ramai kawan di taska. Ini membolehkan anak daku bergaul bersama rakan-rakan dan secara tidak langsung meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial sesama mereka.

3.  Membolehkan anak-anak ini lebih berdikari kerana mempunyai rakan sebaya. Sebagai contoh tidak lagi memakai pampers kerana rakan sebaya tidak lagi memakai pampers.

4.  Kurang mengambil cuti kerana taska hanya akan bercuti pada cuti umum sahaja kerana mereka ramai pekerja.

5.  Selain daripada taska ia juga merupakan 'play school' yang sangat sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.


Pada bulan October 2012 bermulalah episod baru buat Aisyah. Daku mula menghantar Aisyah ke taska. Hari pertama daku dan suami mengambil cuti untuk memastikan Aisyah tidak menghadapi masalah di taska tersebut. Alhamdulillah pekerja di taska tersebut agak terlatih dan pandai mengendalikan kanak-kanak. Pada hari pertama sewaktu mengambil Aisyah, daku melihat bulu matanya basah. Apabila ku tanya Aisyah menangis ke tadi, penjaga di situ mengatakan tidak. Tika itu naluri ibu mengatakan mungkin hari pertama, Aisyah belum dapat menyesuaikan diri di tempat baru.


Hari demi hari, tiap kali mengambil Aisyah pasti bulu matanya basah. Setiap kali menghantar dan mengambil Aisyah, Aisyah tidak pernah senyum. Sehinggakan Aisyah jatuh sakit. Demam Aisyah tidak kebah. Suhu badan hingga ke 40 Celcius. Hati ibu mana tidak risau. Apabila di bawa ke hospital Aisyah mengidap penyakit pneumonia. Ia merupakan jangkitan paru-paru. Luluh hatiku tika itu. Seminggu juga Aisyah berada di hospital untuk memastikan demam Aisyah tidak berulang baru Aisyah dibenarkan pulang. Bulan kedua dan ketiga Aisyah di masukkan ke hospital lagi. Tiga kali berturut-turut. Semuanya adalah berpunca dari jangkitan kuman dan Aisyah mengalami demam yang sangat panas. Daku bernasib baik kerana Aisyah tidak mengalami kekejangan ketika demam panas. Sehinggakan doktor pakar yang mengubati Aisyah menasihati kami sekiranya kami menyayangi Aisyah keluarkan Aisyah dari taska. Ini kerana antibodi Aisyah tidak kuat dan mungkin tidak boleh menerima persekitaran di taska tersebut. Nasihat doktor adalah menyuruh kami mencari pengasuh buat Aisyah dan pengasuh itu tidak boleh menjaga kanak-kanak lebih dari tiga orang. 


Nasihat doktor kami terima, siapa yang tidak sayangkan anak. Tambahan pula Aisyah merupakan anak sulong kami. Dialah penyeri hidup kami sekeluarga. Daku berbincang dengan suami untuk mencari pengasuh Aisyah. Kebetulan jiran sebelah daku pernah tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan dengan tempat tinggal kami. Dialah yang memberi no telefon seorang kakak yang kini menjadi pengasuh anak-anakku. 



Kini pengasuh anak daku ialah Kak Shida. Ketika itu kak Shida hanya menjaga dua orang kanak-kanak. Seorang empat tahun dan seorang lagi bayi sembilan bulan. Dari gaya tutur Kak Shida daku boleh merasakan dia seorang yang lemah lembut dan penyabar orangnya. Apabila diperkenalkan kepada Aisyah, Aisyah hanya memandang sahaja. Kak Shida tidak memaksa untuk Aisyah menerimanya, bukan senang bagi kanak-kanak seperti Aisyah untuk terima kehadiran orang lain dalam hidupnya. Apatah lagi untuk menjaganya. Dari raut wajahya daku dapat melihat yang Kak Shida menyukai Aisyah kerana dia tidak mempunyai anak perempuan dan sepanjang menjadi pengasuh dia tidak pernah menjaga kanak-kanak perempuan. Satu bonus buat Aisyah. Daku bukanlah ibu yang terlalu cerewet dalam memilih pengasuh. Pada daku cukuplah pengasuh ini dapat menjaga anak-anak daku dengan baik padaku sudah memadai. Antara sebab kenapa daku memilih Kak Shida sebagai pengasuh anak daku sehingga kini ialah:


1.  Keadaan rumah yang bersih dan kurang perabot. Dari segi keselamatan adalah lebih terjamin. Kita sebagai ibubapa tidak lah terlalu bimbang anak kita akan mengalami kecederaan atau merosakkan barang-barang di rumah pengasuh.

2.  Rumah Apartment. Ini memudahkan pengasuh untuk mengawal selia kanak-kanak di bawah jagaannya kerana ruang rumah yang tidak besar.

3.  Tidak berkira sekiranya daku lambat mengambil anak-anak. Kadang-kadang kesesakan di jalan raya menyebabkan daku terlewat mengambil anak-anak. Namun begitu, sekiranya selalu lewat daku akan memberi lebih pada bulan tersebut. Semuanya bergantung kepada jasabaik antara pengasuh dan ibubapa.

4.  Satu keluarga Kak Shida mesra dengan anak-anakku. Sehinggakan sekiranya suami pengasuh hendak pergi kerja Aisyah pun hendak ikut sekali.


Melalui pengalaman daku, menghantar anak-anak di rumah pengasuh membuatkan anak-anak kita kurang berdikari. Dari segi pergaulan juga agak terbatas. Kadang-kala pengasuh meminta cuti disebabkan saudara kahwin dan sebagainya. Namun yang demikian, ada antara rakan sepejabat daku mendapat pengasuh yang sangat bagus. Pengasuh anaknya mengajar membaca dan menulis. Ini merupakan satu bonus buat ibubapa sekiranya mendapat pengasuh sedemikian rupa.


Walaubagaimanapun, daku amat bersyukur kerana anak-anak daku di jaga dengan baik. Alhamdulillah, kini Aisyah sudah berusia tiga tahun. Begitu juga Irfan sudah setahun lebih. Kedua-duanya di bawah jagaan Kak Shida. Selepas daku menghantar Aisyah di rumah Kak Shida, Aisyah tidak lagi di masukkan ke hospital. Mudah-mudahan anak-anak daku sentiasa sihat dan dilindungi oleh Nya. Daku bersyukur kerana Allah melindungi anak-anak daku dari segala perkara yang tidak diingini. Ibu mana yang tidak risau dengan pelbagai cerita yang keluar di dada akhbar dan juga internet. Tidak sanggup rasanya untuk membaca dan menontonnya di video tentang kes penderaan kanak-kanak di taska atau di rumah pengasuh.


Di sini daku bukan lah hendak membuat perbandingan yang mana baik dan yang mana buruk tentang taska dan pengasuh. Ianya terpulang kepada ibubapa untuk memberi yang terbaik buat anak-anak. Daku hanya berkongsi pengalaman kepada para ibubapa di luar sana agar dapat membuat keputusan yang tepat dalam menyerahkan anak kita kepada orang lain. Jangan terlalu mengambil ringan sekiranya anak kita mengadu kepada kita dan bagi bayi sekiranya anak yang kita hantar sentiasa menangis. Usahakanlah mencari taska atau pengasuh lain untuk anak-anak kita, ini kerana berkemungkinan anak kita tidak serasi dengan taska atau pengasuh yang menjaganya. Semoga anak-anak kita dijauhkan dari segala musibah yang tidak diingi. AMIN.







9 comments:

  1. Terima kasih kongsi pengalaman ni. saya pun tengah mencari taksa atau pengasuh untuk anak juga.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Assalam. Sy tgh mencari pengasuh anak juga di kelana jaya. Msh ke kak shida mengasuh anak? Atau mahu x dia terima anak asuhan seorg, bayi pompuan 10bln.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Maaf ya, K Shida bukan di Kelana Jaya.

      Delete
  4. Assalamualaikum sis...sy pun masih mencari pengasuh utk anak sy berumur 1y1m. boleh tahu tak kak shida ni rumah nya di area mana?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam Puan, terima kasih singgah di blog saya. Puan area mana?
      Saya area Selangor.

      Delete
    2. Assalamualaikum. Saya jugak tgh mencari pengasuh area kota damansara. Sekiranya kak shida berada di area berdekatan, dia masih terima ke sekiranya saya mahu menghantar baby saya untuk kak shida jaga?

      Delete
  5. SALAM..seronok membaca pengalaman puan...semua ibu bapa tentu mahukan yang terbaik untuk anak mereka...

    ReplyDelete
  6. Sy pun tgah mencari pengasuh area kelana jaya. Pengasuh yg sekarang ni mcm x bagus ja. Setiap sebulan mst anak sy sakit. Setiap kl antr anak mst ade yg hidung bhingus ngn batok. Skrg ni anak sybkne hfmd... Buntu...

    ReplyDelete