Thursday, 13 November 2014

Indahnya aura positif

Teks: Eko Salina Kasman

Gambar: Carian google


Salam Jumaat,


Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini. Minggu ini adalah minggu motivasi buat diriku. Walau apa jua dugaan yang mendatang, ku tetap mengambilnya sebagai satu cabaran. Aura positif harus dicas ke dalam badan agar diri ini tidak memandang ke arah yang negatif.


Dingin di pagi hari, burung-burung berterbangan mencari rezeki. Begitu juga dengan diriku ini, sambil memandu ke tempat kerja bertemankan radio Ikim. Antara segmen yang menarik hari ini adalah segmen motivasi. Hari ini adalah berkisar tentang topik sikap positif yang harus diterapkan dalam diri kita. Kepada pembaca yang tidak berkesempatan untuk mendengar radio Ikim, daku kongsikan bersama di sini. Semoga dapat memberi manfaat kepada semua.


Ceritanya berkisarkan tiga orang pemuda menjumpai barang perhiasan. Mereka bercadang untuk berkongsi harta sesama mereka. Sebelum mereka membahagikan harta tersebut, salah seorang rakan mereka mencadangkan agar membeli makanan tanda kesyukuran. Antara tiga orang pemuda itu, pemuda yang paling muda dilantik untuk membeli makanan di bandar.

Semasa dalam perjalanan untuk membeli makanan di bandar, pemuda itu berkira-kira untuk meletakkan racun di dalam makanan dua orang rakannya nanti. Ini membolehkan dia mendapat kesemua harta tersebut. Bagi dua orang pemuda di hutan pula berfikir sekiranya mereka membunuh pemuda yang membeli makanan nanti pasti pembahagian harta lagi banyak. Lantaran itu, sesampai pemuda yang membeli makanan di hutan, dua orang rakannya itu memukul pemuda tersebut sehingga meninggal dunia. Selepas membunuh, dua orang pemuda tadi terlihat akan makanan yang pemuda tadi beli. Mereka pun makan dan kedua-duanya pun meninggal dunia akibat terkena makanan yang telah diletakkan racun. 


Melalui cerita ini, kita sebagai khalifah di muka bumi ini haruslah sentiasa berfikiran positif supaya diri ini di jauhkan dari segala energy negatif. Hidup kita haruslah sentiasa optimis dan memandang positif terhadap orang lain. Jangan suka memandang negatif terhadap orang lain, ini kerana kita tidak tahu akan kebolehan seseorang itu. Berkawanlah dan dekatilah dengan orang-orang yang mempunyai aura positif agar kita juga akan terkena tempiasnya dalam memajukan diri kita. Begitu juga dengan kehidupan seharian kita, kita haruslah mendidik diri kita dahulu untuk sentiasa berfikir secara positif, latih diri menjadi seorang yang penyabar dan tenang dalam menangani masalah yang mendatang.



No comments:

Post a Comment