Makanan semula jadi untuk tambahkan susu ibu
Teks: Eko Salina bt Kasman
Gambar: Carian google
Bismillahirrahmaniirahim,
Assalamualaikum para pengunjung yang dirahmati Allah,
Daku selalu mendapat pertanyaan mengenai penyusuan ibu. Sebenarnya daku bukan lah ibu yang dapat menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Cukup lah memadai dengan menyusu secara eksklusif selama 6 bulan. Kekangan masa dan kadang-kadang daku terpaksa bekerja di luar kawasan menyebabkan daku mengambil keputusan menyusukan anak secara ekslusif selama 6 bulan sahaja, tetapi ini tidak bermakna daku terus berhenti menyusukan anak daku. Kini daku campur susu formula dan susu badan kepada Irfan itu pun setelah pengasuh anakku memberitahu yang Irfan sudah tidak mahu minum susu ibu yang daku bekalkan. Irfan lebih suka minum susu secara 'direct'. Mungkin juga segar dari ladang agaknya. Hehehe.
Berbalik kepada pertanyaan dari rakan-rakan mengenai makanan untuk tambahkan susu. Ada kalangan rakan-rakan daku mengadu disebabkan kurang susu. Sebenarnya susu ibu adalah melalui proses 'supply and demand'. Sekiranya ada permintaan maka adanya penghasilan susu. Yakinlah pada Allah dan sentiasa bersikap positif dalam menjayakan penyusuan buat si manja terutama sekali bagi bayi berumur antara 0 - 6 bulan.
Beberapa hari lepas daku terbaca majalah Pa&Ma mengenai makanan untuk tambahkan susu. Di sni daku terpanggil untuk kongsikan beberapa jenis makanan dan cara penyediaannya agar dapat membantu masalah para ibu menambah susu yang mana makanan ini mudah didapati dan kos yang murah.
Antara makanannya ialah:
Lobak putih
Sesuai dibuat sup yang dimasak bersama daun kucai dan ikan bilis. Boleh juga dijadikan jus untuk diminum.
Lobak merah
Boleh dijadikan salad mahupun dicampurkan bersama-sama sayur-sayuran lain menjadi menu sayur campur.
Sawi
Sawi boleh dimasak sayur tumis bersama beberapa sayuran yang lain.
Kucai
Kucai menjadi bahan yang dimasak bersama mihun, cucur dan lain-lain. Boleh juga ditumis bersama taugeh dan tauhu menjadi menu sayur.
Pucuk manis
Pucuk manis dimasak gulai lemak atau tumis air.
Pegaga
Kebiasaannya ia dijadikan ulam dimakan bersama sambal belacan atau dibuat kerabu pegaga.
Peria
Boleh digoreng bersama telur. Ia juga boleh dicelur menjadi ulam.
Jantung pisang
Boleh dihidangkan sama ada secara celur, dijadikan kerabu atau masak lemak.
Oren
Boleh dimakan begitu sahaja atau dibuat jus oren.
Betik
Pucuk betik atau buah betik muda perlu dicelur terlebih dahulu sebelum dimakan sebagai ulam bersama nasi panas.
Halba
Biasanya halba direndam dan airnya diminum begitu sahaja. Ada juga dicampurkan di dalam masakan.
Jintan Hitam
Boleh digunakan sebagai bahan asas masakan tertentu seperti sup, masak kicap dan lain-lain.
Barli
Boleh dibuat minuman atau bubur
Oat
Selain daripada dibuat bubur atau dicampurkan ke dalam minuman panas, boleh juga menggunakannya untuk menyaluti makanan goreng seperti ayam, roti dan sebagainya.
Longan kering
Sedap dijadikan minuman. Boleh rebus bersama kurma, kismis dan barli. Lebih sedap sekiranya direbus dengan gula merah.
Tauhu dan tempe
Digoreng sahaja atau dicampur ke dalam masakan-masakan yang lain.
Susu
Boleh diminum begitu sahaja
Keju
Boleh dijadikan bahan asas masakan seperti kek, pastri dan sebagainya selain dimakan begitu sahaja.
Kacang soya
Lazat diminum begitu sahaja.
Semoga dengan perkongsian ini, dapatlah para ibu di luar sana menjayakan penyusuan susu buat si manja. Namun begitu, perlu diingat agar para ibu haruslah kerap mengosongkan payu dara dengan sebaik-baiknya. Ini membolehkan rangsangan payu dara untuk mengeluarkan susu. Sekiranya para ibu tidak kerap mengosongkan payu dara maka makanan di atas ini tidak mendatangkan sebarang kesan. Oleh itu, kerap menyusukan bayi atau pam bagi menghasilkan susu yang banyak. Tahap keberkesanan makanan di atas juga bergantung kepada individu itu. Cuba dahulu satu persatu manalah tahu ianya sangat berkesan buat ibu-ibu di luar sana. Kalau ikut pengalaman daku makanan yang serasi pada daku adalah lobak putih, tauhu, tempe, oat, jintan putih, cokelat dan makanan sunnah. Berdasarkan pengalaman daku sendiri untuk menghasilkan susu yang banyak, setiap apa yang kita suka makan itulah ia dapat menghasilkan susu yang banyak. Oleh itu ibu-ibu carilah makanan kegemaran anda supaya para ibu dapat menikmati makanan dengan penuh nikmatnya dan dapat menghasilkan susu yang banyak.
Walaubagaimanapun berdoalah kepada Allah agar permudahkan penyusuan kita buat si manja. Tidak ketinggalan juga makanan sunnah sangat baik untuk ibu yang menyusu. Khasiatnya boleh KLIK DI SINI.
0 comments