Motivasi Diri
Teks: Eko Salina Kasman
Assalamualaikum pengunjung,
Fikir sebelum bicara
Susah sebelum senang
Jatuh sebelum berjaya
Sedar sebelum hanyut
Begitu indahnya lagu 'hingga ke hujung dunia' antara lirik nyanyian Hanis Soraya. Lagu ini sebenarnya mengingatkan daku akan perjalanan hidupku. Ada kalanya kita berada di atas dan ada kalanya kita berada di bawah. Begitu juga dalam perhubungan kita, tidak semestinya apa yang kita hajati akan kita perolehi. Kita haruslah tabah dalam menempuh segala cabaran. Daku yakin setiap apa yang terjadi dalam hidup kita pasti ada hikmah disebaliknya.
Beberapa hari ini sebenarnya 'stress level' daku agak tinggi juga. Ini disebabkan oleh ketidak stabilan sistem di tempat kerjaku. Segala macam tugasan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Bekerja di bahagian kewangan memang tidak lari dari 'dateline'. Apatah lagi hujung tahun merupakan bulan kritikal bagi kami. Dengan kehadiran LHDN, kastam dan auditor untuk tujuan pengauditan, bertambah lagi kesibukan daku. Kadang-kadang bermain difikiran untuk berhenti kerja sahaja. Lebih baik daku menguruskan rumahtangga dan menjaga anak-anak. Pagi-pagi tidak perlu risaukan tentang kesesakan jalan raya apabila hendak ke tempat kerja. Bolehlah di pagi hari berguling-guling bersama si manja. Tidak perlu memikirkan pelbagai 'dateline' di tempat kerja. Alangkah seronoknya kalau impian menjadi kenyataan. Namun begitu, apabila mengingatkan komitmen yang sedia ada seperti tersedar dari lamunan. Hidup ini mesti diteruskan, sebelum berhenti kerja kita haruslah membuat perancagan yang baik agar keputusan kita itu nanti adalah pilihan yang tepat. Bukan tidak percaya kepada rezeki dari Allah, tetapi kita haruslah ingat rezeki itu bukan datang bergolek tetapi perlulah diiringi dengan usaha.
Setiap hari daku selalu ingatkan pada diri sendiri, sentiasa berfikiran positif walau apa jua tugasan yang diberi dan cabaran yang kita hadapi. Walaupun kadang kala ada juga 'naik darahnya' namun ku tetap cuba bersikap sabar dan bersyukur sekurang-kurangnya daku mempunyai pekerjaan. Jangan biarkan emosi kita mengatasi segalanya. Emosi yang tidak stabil boleh mendatangkan bahaya kepada diri kita juga. Kesabaran adalah kunci kejayaan juga.
Daku teringat akan kata-kata ustaz sewaktu tazkirah di pagi Jumaat. Sebelum memulakan apa-apa pekerjaan kita mulakan dengan surah Al-Insyirah.
Kelebihan Surah Al-Insyirah.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda : “Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku”. Barangsiapa membiasakan membaca surah Alam Nasyrah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah permudahkan urusannya serta dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya.
Semoga dengan amalan ini, ia dapat meringankan bebanan kita dalam melaksanakan tugasan harian kita, secara tidak langsung ia dapat menenangkan jiwa dan hati kita yang berada dalam keadaan yang tidak tenteram.
Wallahua'lam.
Wallahua'lam.
0 comments