7 Panduan Sebelum Berhenti Kerja
Teks: Eko Salina Kasman
Sewaktu tika dulu, punya sembilan orang anak adalah perkara biasa dalam sesebuah masyarakat melayu. Bahkan kebanyakan ibu kita merupakan suri rumah sepenuh masa. Manakala seorang ayah bertanggungjawab sepenuhnya dalam mencari rezeki untuk menampung dan menyara keluarga. Ibu lah yang menjaga dan mengajar kita saban hari tanpa kenal erti jemu. Begitu besarnya pengorbanan ayah dan ibu yang membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan memberi didikan yang sempurna kepada kita.
Sewaktu tika dulu, punya sembilan orang anak adalah perkara biasa dalam sesebuah masyarakat melayu. Bahkan kebanyakan ibu kita merupakan suri rumah sepenuh masa. Manakala seorang ayah bertanggungjawab sepenuhnya dalam mencari rezeki untuk menampung dan menyara keluarga. Ibu lah yang menjaga dan mengajar kita saban hari tanpa kenal erti jemu. Begitu besarnya pengorbanan ayah dan ibu yang membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan memberi didikan yang sempurna kepada kita.
Salam ukhuwah,
Kini, masa berlalu begitu pantas. Kebanyakan wanita di luar sana bergelar ibu bekerjaya. Masing-masing punyai jawatan di dalam sektor swasta mahupun kerajaan. Faktor kewangan dan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan ramai wanita di luar sana keluar bekerja. Bersama-sama mencari rezeki untuk sebuah keluarga. Ingin memberi didikan yang sempurna kepada anak-anak dan membantu meringankan beban suami. Namun begitu, ramai wanita di luar sana bukan tidak berkeinginan untuk menjadi seperti ibu-ibu kita seperti dulu, namun pelbagai faktor harus difikirkan sebelum menyerahkan surat perletakan jawatan kepada majikan.
Bagi seorang wanita yang punya keluarga apatah lagi punyai anak-anak, pasti keinginan untuk berhenti kerja begitu membuak-buak ditambah pula dengan pelbagai gejala negatif yang kita sering dengar dewasa ini tentang remaja zaman milenium dan juga anak-anak di taska. Ibu mana yang tidak risau dengan pelbagai cerita di dada akhbar dan di kaca tv.
Walaupun untuk menjadi suri rumah sepenuh masa yang merupakan dambaan ibu bekerjaya, beberapa faktor perlu di ambil kira sebelum kita membuat keputusan untuk berhenti. Kita haruslah bersabar dan kenang semula pada awalnya apabila kita hendak memohon pekerjaan. Jangan membuat keputusan yang terburu-buru. Fikir dengan tenang dan lakukan beberapa langkah sebelum benar-benar sudah bersedia untuk berhenti kerja.
Antara panduannya ialah:
1) Sifar Hutang
- Pastikan hutang bulanan kita telah dilangsaikan. Antaranya hutang kad kredit, hutang kereta, hutang pinjaman pelajaran dan lain-lain yang melibatkan pembayaran setiap bulan.
2) Punyai wang semasa kecemasan
- Seeloknya pastikan kita punyai simpanan wang sekurang-kurangnya 3 bulan gaji supaya apabila keadaan mendesak kita punya simpanan untuk digunakan.
3) Mencari peluang perniagaan
- Membuat perancangan terlebih dahulu sebelum berhenti kerja. Sebagai contoh, 4 tahun akan datang ingin menjadi suri rumah sepenuh masa. Tika ini, kita hendaklah mencari peluang perniagaan secara sambilan untuk bekalan pada masa akan datang. Ini secara tidak langsung membolehkan kita bekerja dari rumah dan dapat menjana pendapatan apatah lagi sebelum ini kita merupakan wanita bekerjaya dan sudah biasa pegang duit sendiri. Biarlah kita mula dari bisnes yang kecil tetapi kita lakukannya dengan betul.
4) Mencari ilmu
- Ilmu merupakan perkara asas dalam kehidupan kita. Menjadi suri rumah sepenuh masa bukanlah suatu perkara yang enteng atau boleh dipandang ringan. Persediaan dari segi mental dan fizikal harus ada dalam diri kita. Carilah bahan bacaan yang sesuai sebagai persediaan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
5) Berbincang dengan pasangan
- Dalam hal ini, seeloknya berbincang dengan pasangan kita sebelum mengambil keputusan untuk berhenti. Ini membolehkan pasangan kita juga bersedia dan sama-sama merancang menguruskan kewangan keluarga.
6) Berjimat cermat dan mula membuat tabungan
- Dalam mencapai impian untuk menjadi suri sepenuh masa, pastikan kita berjimat cermat dalam berbelanja. Beli barang mengikut keperluan sahaja dan membuat tabungan yang boleh dilupakan. Sebagai contoh, buka akaun bank lain yang mana tidak campur dengan duit gaji kita setiap bulan. Ini mengelakkan dari kita terguna wang tabungan untuk keperluan lain.
7) Berbincang dengan keluarga kita dan keluarga pasangan
- Lebih manis sekiranya kita berbincang dengan keluarga kita juga keluarga mertua agar tiada masalah yang akan timbul dikemudian hari.
Dengan adanya panduan ini, semoga impian untuk menjadi suri rumah sepenuh masa akan tercapai.
0 comments