Tuesday, 18 November 2014

Stress jangan dekati daku

Teks: Eko Salina Kasman






Assalamualaikum,

Di pagi yang hening ini, sambil menyusukan Irfan jari jemari ini terus menaip sementara idea yang hendak dicoretkan masih segar. Semalam hari yang agak sibuk dengan kerja di pejabat yang tiada sudahnya sehinggakan tidak berkesempatan untuk menjenguk blog sendiri dek kepenatan apabila pulang ke rumah. Terdetik juga difikiran akan rasa penatnya menjadi ibu yang bekerja. Macam-macam yang hendak difikirkan, hal kerja di pejabat, hal anak-anak dan hal rumahtangga. 


Minggu ini juga kebanyakan sekolah mengadakan hari penghargaan buat pelajar. Tidak ketinggalan juga pengasuh anak mengambil cuti pada hari ini sempena penyampaian hadiah bagi pelajar cemerlang. Ibu mana yang tidak mahu melihat anak kesayangan naik ke pentas untuk mengambil hadiah atas pencapaian cemerlang anak. Segala pengorbanan ibu bapa terasa terbalas sekiranya anak-anak itu dapat membahagiakan mereka. Tidak ketinggalan juga daku mengambil cuti untuk menjaga anak-anak. Boleh lah rehat sehari untuk melepaskan rasa lelah. Tapi bila difikirkan balik, ibu mana yang akan duduk berehat sahaja sekiranya diberi pilihan duduk di rumah. Pelbagai kerja yang akan dilakukan. Itulah kelebihan yang ada pada kaum wanita. Boleh melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.   


Dalam kesibukan ini, pasti akan terasa tekanan dalam diri kita. Tekanan sebenarnya ada di mana-mana dan terpulang pada kita bagaimana hendak menanganinya. Sebagai ibu yang bekerja, rasa tertekan adalah perkara biasa lebih-lebih lagi sekiranya anak sakit dan dalam masa yang sama pelbagai 'dateline' kerja di pejabat harus disiapkan. Dalam situasi begini, kita haruslah membuat pilihan samaada kerjaya atau anak kita. Keutamaan harus di berikan kepada anak kita. Berbincanglah secara baik dengan ketua jabatan atau majikan agar mereka faham dengan situasi kita ketika itu.  


Bantuan dan sokongan daripada suami juga amat penting dalam mengurangkan tekanan. Sebagai contoh, perjalanan daku dari rumah ke pejabat agak jauh juga iaitu 90 km. Disebabkan itu, meminta bantuan dari suami untuk menguruskan anak-anak ke rumah pengasuh akan lebih menjimatkan masa kita untuk ke pejabat. 


Kadang-kadang keletihan ini akan membuatkan kita akan berasa tertekan, ini boleh membuatkan mood kita sepanjang hari tidak begitu baik. Dalam situasi begini, kita bolehlah sekali sekala mengambil cuti separuh hari untuk memanjakan diri sendiri. Lain tidak bukan daku lebih gemar ke spa atau pun membuat aktiviti yang kita suka tanpa ada anak-anak disisi. Ini juga merupakan salah satu terapi yang boleh mengurangkan tekanan dalam diri kita.


Selain daripada itu, kita haruslah menjaga waktu tidur dan makan yang cukup. Bersenam seminggu sekali juga dapat menangani tekanan dengan baik. Bersiar-siar bersama keluarga dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan juga dapat membuatkan kita rasa tenang dan lupa dengan bebanan tugas yang sedang kita tanggung.


Amalan membaca Al-Quran adalah salah satu terapi atau ubat dalam membantu mengurangkan bebanan dalam diri kita. Pendekatan kita terhadap Allah secara tidak langsung dapat menenangkan jiwa yang tidak tenteram. Disamping solat lima waktu dan banyakkan berdoa supaya diberi ketenangan dan dapat meredakan segala kemarahan. Ini kerana doa adalah penguat hubungan antara manusia dengan Allah.











Dengan beberapa perkongsian ini, semoga dapat memberi manfaat kepada semua. 



Notakaki: Tiada pengetahuan membuat blog dan fanpage di facebook tapi anda ingin mengembangkan perniagaan anda. Boleh sertai kami di ABDR. Apa itu ABDR? Pendaftaran masih dibuka setiap hari. Keterangan lanjut boleh KLIK DI SINI. 

No comments:

Post a Comment