Friday, 14 November 2014

Gunakan masa berkualiti bersama anak-anak


Teks:  Eko Salina Kasman

Salam sejahtera,


Petang ini hujan renyai membasahi bumi. Tika ini kesesakan di jalan raya adalah lumrah bagi penghuni ibu kota, hari ini dek kerana tiada polis trafik maka kesesakan di jalan raya agak kritikal. Baru berkira-kira hendak pulang awal setelah beberapa hari ini pulang lewat disebabkan beberapa tugasan yang harus disiapkan.


Sambil memandu, sempat lagi memikirkan tentang anak-anak tercinta. Masih ingat lagi diingatan akan berita tentang kanak-kanak yang berusia 6 tahun jatuh dari tingkat 2 sekolah disebabkan gurauan dari murid pendidikan khas. Allahuakbar, hendak pengsan rasanya kalaulah yang terjadi itu anak kita sendiri. Dunia akhir zaman, pelbagai cerita di sekeliling kita dan di dada akhbar. Hati ibu mana yang tidak risau akan keselamatan anak-anak. Kasih seorang ibu tiada penghujungnya. Walau nakal sekalipun anak kita dan kadang kala menguji kesabaran tetapi mereka tetap anugerah dari Allah yang tidak ternilai buat kita.


Sebagai ibu bapa, terutama bagi ibu yang bekerja akan terasa betapa nikmatnya sekiranya kita dapat meluangkan masa bersama-sama anak. Terasa begitu besarnya pengorbanan anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa ketika ibu bapa mereka mencari rezeki. Walau sesibuk mana pun ibu bapa, kita haruslah meluangkan sedikit masa untuk anak-anak kita. Ini kerana masa yang ada tidak akan dapat diulang semula. 


Pelbagai cara yang boleh kita lakukan bersama-sama dengan mereka untuk mengeratkan lagi hubungan dan kasih sayang kita terhadap anak-anak tercinta. Antaranya ialah:


1.  Beri sepenuh perhatian kepada anak-anak

Apabila kita berada di rumah, pastikan ada ruang waktu untuk bersama anak-anak kita. Beri perhatian kepada mereka agar mereka tidak rasa dipinggirkan oleh ibu bapa mereka. Sebagai contoh, ketepikan handphone dan laptop dahulu. Ketika ini, cuba ajak anak-anak kita berbual dan bertanyakan khabar mereka pada hari ini. Pandang wajah mereka apabila kita bercakap dengan mereka. Secara tidak langsung mengajar mereka untuk menghormati orang lain.



2.  Melakukan kerja bersama-sama

Membeli belah antara kerja yang boleh dilakukan bersama-sama. Sebagai contoh, kita boleh menyuruh anak kita mengambil barang atau sama-sama memilih barang yang mereka inginkan. Selain daripada itu aktiviti memasak dan berkebun juga boleh dilakukan bersama-sama dengan anak kita. Sebenarnya aktiviti berkebun ini sangat baik untuk perkembangan anak-anak kita yang sedang membesar. Dari situ mereka boleh belajar bagaimana untuk menyiram pokok bunga, bagaimana pokok itu ditanam dan boleh membesar. Pelbagai cara lain juga yang boleh kita lakukan bersama anak-anak kita dan semuanya bergantung kepada kreativiti ibu bapa itu sendiri.



3.  Terima anak seadanya

Setiap orang mempunyai kekuatan dan keunikan yang tersendiri. Apabila kita bersama anak-anak, kita cuba perhatikan karekter anak masing-masing. Jangan memaksa anak-anak itu apabila mereka tidak suka dan menghargai setiap apa yang mereka lakukan. Sebagai contoh anak yang berusia dua tahun, walaupun hanya menconteng di atas kertas kita sebagai ibu bapa haruslah memberi penghargaan ke atas hasil contengan itu. Anak ini pasti suka dengan penghargaan yang diberikan kepada mereka. Jangan memaksa dengan sesuatu perkara yang mereka tidak suka. Cuba kita lihat potensi anak-anak kita dan jangan hanya menyuruh mereka mengikut kehendak kita. Terima mereka seadanya dan berikan galakkan kepada kebolehan anak-anak kita.



4.  Jangan biarkan anak bermain sendiri

Bermain bersama anak-anak akan lebih menyeronokkan mereka. Sebagai ibu bapa kita boleh mengajak anak-anak bermain di taman permainan dan bermain bersama-sama dengan mereka. Ini secara tidak langsung perkembangan dan kesihatan anak-anak ini akan lebih baik berbanding kita membiarkan anak-anak bermain dengan 'gadget' semata-mata.



Sebagai ibu bapa, kita haruslah membimbing mereka ke arah yang lebih baik dan menegur mereka sekiranya mereka melakukan kesalahan. Anak-anak memerlukan kasih sayang yang sempurna daripada kedua ibu bapa mereka. Duit bukanlah segala-galanya buat mereka, namun begitu mereka memerlukan perhatian daripada kita. Jangan kerana kesibukan kita, anak-anak terabai dan tidak dapat kasih sayang yang sebenar. Peluk dan kucuplah mereka setelah kita pulang dari kerja. Walau penat sekalipun kita, jangan biarkan anak-anak ini terus berkorban dengan kesibukan masa kita yang tiada penghujungnya.



Sayangilah dan hargailah anak-anak kita. Walau sesibuk manapun kita, pastikan masa yang digunakan bersama mereka adalah berkualiti. Cari masa yang sesuai untuk bersama anak-anak dan dengan adanya sokongan daripada ibu bapa secara tidak langsung dapat membantu mereka menjadi anak yang berjaya apabila mereka dewasa kelak.

No comments:

Post a Comment