Saturday, 15 November 2014

Cucur Manis dan Kopi O


Teks: Eko Salina Kasman



Bismillahirrahmaniirahim,


Alhamdulillah, titisan air hujan turun membasahi bumi. Syukur dengan rahmatmu Ya Allah. Dengan air hujan inilah dapat membersihkan debu-debu di udara. Jam di dinding menunjukkan pukul lima petang. Si kakak sibuk keluar masuk dapur. Dari kejauhan si kakak buka tutup pintu peti sejuk. Si adik bergurau senda bersama ayah. 'Emmm, lapar agaknya kakak ni'. Bisik hati si ibu. Lantaran itu si ibu pun melangkah ke dapur dan mencari apa yang perlu di masak untuk menu petang. Si kakak mula mendekati ibu dan bertanya:

Kakak: Mama uatpe tu?
Mama: Mama nak uat kuih untuk Aisyah.
Kakak: Waaaaa, untuk Aisyah.
Mama: Iyea, kuih untuk Aisyah.
Kakak: Yeayyyy.


Begitu gembiranya hati kakak dan terus melangkah pergi ke ruang tamu. Bermain-main pula bersama si adik. Daku terus memulakan kerja di dapur dengan mengambil 3 cawan tepung, 3 cawan air panas, 1/2 cawan susu pekat manis dan secubit garam. Daku campurkan kesemua bahan tadi dan gaulkan sehingga sebati. Sementara itu ku bacakan surah Al-Kautsar ketika gaulkan kesemua bahan. Pesan ustaz mengaji, dengan membaca surah ini suami dan anak-anak kita akan sentiasa ingat dengan masakan kita dan niatkan dalam hati supaya masakan kita nanti sesedap seperti air kautsar. Setelah siap doh tadi, daku terus goreng di dalam kuali.


Cucur manis dan kopi O siap dihidang. Itulah juadah pada petang ini. Irfan dengan lajunya menghampiriku dengan tersenyum simpul. Lantaran itu ku hulurkan cucur manis kepada Irfan. Begitu juga kakak dan suami menikmati hidangan petang ini yang serba ringkas. Walaupun ringkas, alhamdulillah dua pinggan cucur manis habis di makan mungkin kerana dek hujan petang ini. Lapar semuanya, bukan anak je yang lapar tetapi mama dan ayah pun lapar.  


Begitulah nikmatnya air tangan seorang ibu dan isteri. Tidak ada bukti yang saitifik yang menunjukkan kehebatan air tangan ibu dan isteri terhadap keluarganya tetapi dapat dilihat melalui rohaniah, tetapi kita boleh lihat dan fikir mengapa apabila kita berjauhan kita akan merindui masakan ibu kita walaupun hanya nasi goreng sahaja. Tidak ada siapa yang boleh tandingi masakan ibu kita. Itulah kehebatan air tangan ibu. Sebenarnya makanan yang ibu masak dan disusuli dengan suapan tangan sendiri ke mulut anak akan menambah lagi ingatan anak terhadap ibunya apatah lagi hubungan anak dan ibu akan lebih akrab. Begitu juga suami, akan sentiasa ingat masakan isterinya walaupun tidaklah sesedap masakan ibunya.


Oleh itu, walau sesibuk mana pun isteri yang bekerja turunlah ke dapur. Jika kita masak walaupun hanya sejenis lauk sahaja tetapi dengan penuh kasih sayang dan dengan penuh keikhlasan pasti akan sedap masakan itu.




Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment