Cabaran dan panduan ibu bekerja sambil belajar

by - 16:14



Teks: Eko Salina Kasman

Gambar: Carian Google






Assalamualaikum pengunjung,

Mencari ilmu biarla sampai ke negeri China.  Itulah ungkapan yang biasa kita dengar.  Mencari ilmu tidak mengenal peringkat umur. Setiap orang mempunyai impian masing-masing.  Ada antara mereka yang menyambung pelajaran ketika anak mereka sudah besar.  Ada juga ibu, ayah dan anak bersama-sama ke universiti.  Akhirnya mereka sama-sama berjaya dalam bidang masing-masing. Alangkah indah dan manisnya pengalaman seperti itu.


Tidak ketinggalan juga daku yang bekerja sambil belajar.  Pengalaman yang ku lalui adalah yang paling indah walaupun pelbagai cabaran yang mendatang tika itu. Namun begitu impianku untuk mengenggam segulung ijazah tidak pernah pudar.  Ianya bukanlah mudah bagi daku yang bekerja dan belajar ini untuk membahagikan masa.  Apatah lagi daku merupakan seorang isteri juga ibu kepada seorang anak kecil.


Dorongan dan semangat daripada keluarga dan kawan-kawan adalah kunci kejayaan.  Doa dari seorang ibu juga adalah salah satu faktor daku berjaya sehingga kini.  Dalam mengapai apa yang diimpikan, kita haruslah mempunyai sikap yang sangat positif dan penuh disiplin. Jangan hangat-hangat taik ayam sahaja.  Duit yang kita labur nanti membazir begitu sahaja.


Pengalaman daku sebagai seorang isteri, ibu, pekerja dan pelajar adalah penuh dengan pelbagai dugaan.  Sebagai seorang pekerja dan pelajar pembahagian masa sangat penting tika itu.  Setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah perlu disiapkan.  Pada tika itu mode pembelajaran yang daku ambil di Uitm adalah secara jarak jauh dan online.  Walaubagaimanapun, daku tetap pergi kuliah sebulan sebanyak satu atau dua kali bergantung kepada mata pelajaran yang kita ambil pada semester itu. Kelas online juga perlu aktif.  Para pelajar wajib untuk menjawab segala soalan di dalam kelas online.


Daku masih ingat lagi, pada semester ke empat, daku tidak dapat menduduki peperiksaan investment analysis.  Ketika itu daku baru lepas minor operation kandungan luar rahim untuk anak pertama. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaanku ketika itu.  Namun ku kuatkan semangat jua.  Mungkin ada hikmah disebaliknya.  Begitu juga semester yang berikutnya tidak dapat menduduki peperiksaan investment, kerana pendarahan ketika mengandung buat kali kedua.  Ketika itu doktor menasihatkan agar jangan terlalu lasak dan mengangkat berat.  Daku tak boleh stress.  Tika inilah sokongan daripada suami sangat penting.  Alhamdulillah suami daku sangat membantu dan sangat memahami. Dalam mendapat sokongan daripada suami, daku sarankan agar terlebih dahulu meminta izin daripada suami sebelum mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran.  Berbincanglah dengan baik agar cita-cita kita akan tercapai.  Hal ini tidak berlaku pada diriku, daku sambung belajar ketika daku belum bergelar isteri. (Senang sket la nak buat keputusan.  Hehehe)


Daku ingat lagi ketika akhir semester, daku perlu menyiapkan tesis. Daku mendapat supervisor yang agak cerewet.  Tajuk tesis yang dibentangkan entah berapa kali kena 'reject'.  Rasa geram pun ada, ini disebabkan selain mencari tajuk yang sesuai dalam masa yang sama daku juga dikehendaki mencari literature review untuk tahun-tahun terkini.  Bila tajuk kena reject tu yang rasa agak frust.  Namun ku tetap berusaha dan mencari tajuk yang lebih sesuai dan menepati apa yang dikehendaki oleh supervisor. Ketika itu daku tinggal di Cheras, setiap seminggu sekali akan ke rumah pensyarah di Puncak Alam untuk beliau menyemak semula segala tugasan yang diberikan.  Saat itu lah suami dan anak peneman kala daku berjumpa dengan pensyarah. Cabaran lain yang dihadapi kadang-kadang kita tidak dapat menghadirkan diri di atas jemputan kahwin rakan-rakan atau sedara mara yang jauh, disebabkan pertembungan dengan kuliah.


Walaupun pelbagai rintangan yang ketempuhi, alhamdulillah pada tahun 2012 akhirnya daku berjaya juga menamatkan pengajianku. Sebenenarnya kejayaan daku adalah dari doa seorang ibu, yang sentiasa memberi dorongan dan semangat kepadaku.  Sentiasa mendoakan daku tika daku mengambil peperiksaan.  Ijazah ini adalah hadiah yang bermakna buat ibuku.


Dalam menjayakan impian kita, di sini daku ingin berkongsi beberapa panduan bagi ibu bekerja sambil belajar.


FOKUS SEWAKTU DALAM KELAS

Bagi seorang pelajar, pelajar haruslah memberi sepenuh perhatian kepada apa yang pensyarah ajar. Kalau boleh pastikan pelajar duduk di barisan hadapan sekali.  Ini mengelakkan dari pelajar hilang tumpuan.  Sekiranya pelajar hilang tumpuan, ianya amat menyukarkan untuk kita memahami sesuatu topik yang diajar oleh pensyarah.


MENCARI RAKAN KUMPULAN

Mencari rakan kumpulan sangat penting dan pastikan rakan kumpulan kita itu serius dalam setiap perbincangan yang dilakukan.  Pemilihan rakan kumpulan ini penting untuk memudahkan lagi kita dapat belajar secara berkumpulan terutama sekali ketika hendak menjelang peperiksaan.  Berdasarkan pengalaman daku, belajar secara kumpulan sangat membantu dan mempercepatkan proses pembelajaran kita.  Ini kerana, sekiranya kita tidak faham dengan sesuatu perkara, rakan kita dapat membantu dan menerangkan semula topik yang kita kurang faham.


LATIH TUBI

Beberapa bulan sebelum menjelang peperiksaan, pastikan kita mempunyai salinan kertas soalan tahun-tahun lepas.  Buat latihan tubi dan cuba memahami konsep soalan setiap subjek.  Secara tidak langsung membantu kita bagaimana teknik untuk menjawab soalan peperiksaan.


BERSIKAP POSITIF

Sentiasa bersikap positif walau apa pun rintangan yang berlaku. Jangan mudah mengalah dan berputus asa.  Anggaplah segala dugaan yang mendatang itu sebagai satu cabaran dalam hidup kita. Sentiasa yakin dengan kebolehan yang kita ada.


MANFAAT MASA YANG TERLUANG

Pembahagian masa sangat penting sekiranya kita bergelar sebagai seorang ibu yang bekerjaya dan juga pelajar.  Bahagi masa antara kerja di pejabat, kerja di rumah dan juga tugasan dari pensyarah. Pastikan tiada kerja pejabat di bawa balik ke rumah.  Ini memudah kan lagi kita membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Walaupun satu jam sehari untuk mengulangkaji itu pun sudah cukup memadai.  Orang kata biar berdikit-dikit lama-lama menjadi bukit.


DISIPLINKAN DIRI

Tanamkan sikap disiplin dalam diri kita.  Contohnya ketika belajar kumpulan, pastikan kita bincang mengenai topik yang hendak dibincangkan.  Masa sangat penting bagi mereka yang bekerja sambil belajar.  Jangan campur adukkan soal kerja, rumahtangga dan belajar dalam masa yang sama.



Semoga dengan beberapa panduan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca di luar sana yang bekerja tetapi ingin sambung belajar. Teruskan niat dan cita-cita anda.  Tiada yang mustahil untuk kita berjaya, apa yang penting terus berdoa dan berusaha agar kita mendapat kejayaan dalam hidup ini.  Daku seringkali ingat pesan ustazah yang mengajar daku di bangku sekolah.  Ajarnya setiap solat lima waktu, titipkan doa untuk memperolehi ilmu yang bermanfaat.

"Ya Allah, Ya Tuhanku, perkayakanla aku dengan ilmu, hiasilah aku dengan budi pekerti, muliakan aku dengan ketakwaan dan baguskan aku dengan kesihatan"

You May Also Like

0 comments